WELCOME TO COMRADE IIUM CLUB OFFICIAL SITE :: SELAMAT DATANG KE HALAMAN RASMI KELAB COMRADE UIAM :: SEGALA INFO TERKINI AKAN SENTIASA DIKEMASKINIKAN :: JANGAN JEMU UNTUK MENJENGAH DAN MENINGGALKAN KOMENTAR ::

Monday, January 31, 2011

"Laa Taghdab!!.."


Ya, semua pasti sedia maklum marah pasti berlaku pada setiap insan.. tipulah kalau kata kita manusia ini tidak pernah marah walau sedikit pun kan??
 
Alkisah...
Di sebuah kampung, terdapat dua adik beradik(Hasan dan Husin) yang suka sangat bergaduh, pantang bertemu muka, mulalah ada sahaja yang tak kena. Pada suatu hari, adiknya Husin terpanggil untuk pergi ke usrah kerana di paksa rakannya, Harun, dengan muka masam cuka Husin duduk di barisan paling belakang dengan niat bolehlah tidur atau mesej2 ke.. Namun, niat Husin tidak kesampaian, walaupun seat dia memang di belakang tapi Allah Maha Mengetahui dan pemberi petunjuk. Allah membuka hati Husin mendengar dan turut serta dalam usrah tersebut apabila terdengar Ustad muda menjerit "Laa Taghdap..!!" terus Husin membetulkan duduknya seolah-olah sangat berminat dengan topik tersebut. walhal, Husin tidak mengerti sedikit pun maksud perkataan yang di ungkap oleh Ustad itu. Husin terus menumpukan perhatian sehingga lah ke bibit waktu yang terakhir. Sungguh Husin tertarrik dengan usrah pada malam tersebut. 

Keesokan harinya...
Husin memulakan harinya dengan gelak ketawa yang sangat ceria. kata-kata ustad kelmarin masih terngiang-ngiang ditelinganya. Husin berazam untuk mengurangkan kemarahan dia yang selama ini yang sukar dibendung. sedang Husin bermain dengan kucing kesayangannya, datang Hasan tergopoh gapah menuju ke dalam rumah. Tiba-tiba......
Pooooommmmmmmm!!!!!
Husin segera masuk ke dalam rumah. 
"ah, sudah...kenapa pula dengan Hasan ni?" Husin bermonolog
setelah menjengah, Husin tidak mampu menahan ketawa sehingga mukanya kemerahan. Akhirnya ketawa Husin pecah juga kerana melihat Hasan jatuh ketika ingin melabuhkan punggungnya ke kerusi tetapi kerusi itu terlebih dahulu terburai dan akhirnya Hasan jatuh terjelepuk di lantai. Muka Hasan kemerahan menahan marah. Kakinya laju melangkah ke Husin. Husin ketakutan dengan pantas dia mengungkap kata-kata Ustad kelmarin "Aaabbaaaaang......Laa Taghdab!!! dalam hadith 16, Nabi kata Janganlah kamu marah!!...Laa Taghdab Abang..sorry sorry.." Hasan terpaku dan terus tergelak begitu juga Husin. 
Sejak dari hari itu mereka berdamai dan Hadith 16 menjadi aset untuk mereka untuk mengelakan pergaduhan. 

Kisah benar, cuma pengolahan yang sedikit berbeza. Jadikanlah pedoman dan tauladan buat kita zaman moden lagi siber ini.
LARANGAN MARAH
Apabila dikaji persoalan marah, kita akan berjumpa dengan
banyak larangan marah oleh Rasulullah
 
.
Daripada Abu Hurairah: Seorang lelaki berkata kepada Nabi:Nasihatilah aku, Nabi berkata: Janganlah kamu marah. Lelaki tersebut berulang kali meminta nasihat, Nabi berkata (setiap kali): Janganlah kamu marah.
(Hadith riwayat al-Bukhariyy,) 
 
 


Wednesday, October 27, 2010

"Ayah tak mahu anak-anak ayah jadi......."


by Insan kerdil

“Ampa ingatlah, nanti kalau dah kahwin ikut perintah suami..jangan ingkar”
 Ayah terdiam dan tunduk. Kemudian menyambung lagi.

“jangan melawan cakap suami..jaga suami elok-elok”
 Aku hanya mampu mengangguk tanpa menokok tambah.

“Dan, jangan beri tekanan pada suami..yang baik ikut, yang buruk tinggalkan..”

“beri semangat kepada suami. Sesekali berlaku juga lemah semangat kepada suami, bukan lemah jiwa. maka isteri jadilah seperti Sayidatina Khadijah ketika Rasulullah SAW mula menerima wahyu. Sayidatina Khadijah menyelimutkan Rasulullah SAW dan memberi semangat serta perangsang dengan tugas besar yang baru diterima oleh Rasulullah SAW.

Inilah antara pesan ayah kepada aku dan adikku. Mengalir juga mutiara jernih di pipiku.
Uh, sedihnya jiwa, bila kata-kata ayah itu masih terpaut pada hati dan jantung.

Ya Allah, hanya Engkau sahaja yang mengetahui betapa hati aku menanggis sendirian mengenangkan tabah dan sabarnya seorang ayah menangkis segala dugaan dan cubaan.Aku sedar kini, kahwin bukan semudah yang aku sangka..banyak dugaan dan cubaan. Untuk menjadi seorang isteri solehah memang mudah tapi sebenarnya mudah lagi untuk memecahkan banteng tampuk seorang pemimpin keluarga. ” aku bermonolog.

Apabila seorang ayah yang memberi nasihat. Hati terasa ‘zup’ sayu dan sendu. Bagi seorang anak seperti aku, yang sedikit degil dan keras kepala sebenarnya agak tersipu bila mendengar nasihat seperti itu yang keluar dari mulut seorang ayah. Lebih lagi, berkenaan alam perkahwinan.

Ya, aku mengaku, bukan mudah seorang ayah ingin meluahkan rasa mengenai hati, perasaan dan tanggungjawab seorang isteri kepada anak-anaknya mana pula anak-anaknya masih bujang. Mungkin ayah rasa waktunya telah tiba apabila melihat si anak telah mengenali tentang hati dan perasaan yang mungkin tidak lama lagi ke alam perkahwinan.

“ayah tak nak anak-anak ayah jadi isteri yang derhaka.Bukan setakat derhaka pada suami tapi pada ibu bapa..jaga tatasusila..syurga bagi seorang wanita di bawah tapak kaki suaminya..ingat tu!!” terngiang-ngiang kata-kata terakhir ayah sebelum ayah berlalu pergi.

Ada sebuah kisah, bahwa pada masa Nabi s.a.w. ada seorang laki-laki yang akan berangkat berperang, yang berpesan kepada isterinya : "Hai isteriku janganlah sekali-kali engkau meninggalkan rumah ini, sampai aku kembali pulang." Secara kebetulan, ayahnya menderita sakit, maka wanita tadi mengutus seorang laki-laki menemui Rasulullah s.a.w.

Rasullullah s.a.w. bersabda kepada utusan itu : "Agar dia mentaati suaminya". Demikian pula si wanita, mengutus utusan tidak hanya sekali sehingga akhirnya dia mentaati suaminya dan tidak berani keluar rumah.

Maka ayahnya pun meninggal dunia dan dia tetap tidak melihat mayat ayahnya dan dia tetap sabar. Sehingga suaminya kembali pulang. Maka Allah menurunkan wahyu kepada Nabi s.a.w. yang berbunyi, Maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengampuni wanita tersebut, disebabkan ketaatannya kepada suaminya."


Monday, August 9, 2010

Indah Ramadhan dengan Bersahur


Ahlan ya Ramadhan,
Ramadhan datang lagi!!!

Seorang kanak-kanak bertanya,
"Ibu, Ramadhan ini penuh dengan kebaikan, kenapa bu?"

Kemudian Si Ibu pun menjawab
 "Ya, bulan puasa kita kena penuhkan dengan amalan-amalan yang mulia sayang.."

"Ibu, Ateh tak sabarlah nak puasa ni..tapi kan bu, kalau Ateh penat macama mana bu? dah lah Ateh sekolah bulan Ramadhan ni..mesti letihkan?"

"Ateh pasti tak penat atau letih sebab Ateh kan kena bagun bersahur.."

"Sahur? alah bu, kalau Ateh tak nak bangun sahur tak apa kan bu? Ateh nak tidur, mengantuklah bu nak bangun pagi-pagi.."

"Ateh tak nak bangun sahur? kalau macam tu mestilah Ateh letih nak pergi sekolah..bersahur itu penting sayang.."

"Kenapa penting, ibu?"

" Nak tahu kenapa? jom kita tengok dalam laptop ibu ada beberapa keberkatan bersahur..nanti pasti Ateh tak nak tinggal sahur.."

Kemudian, Si ibu pun terus membuka laptopnya. Di skrin komputer ribanya itu tertera beberapa keberkatan amalan bersahur.

"Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat" HR Bukhari dan Muslim

Mereka yang bersahur, Allah akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Slain dari memperoleh kekeyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadah puasa pada siangnya,mereka juga memperoleh berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadah tersebut.

Ibn Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyelaraikan beberapa kelebihan berpuasa, yang antara lainnya ialah:

1. Bersahur adalah amalan sunnah
2. Membezakan diri kita dengan Ahlul Kitab
3. Menambahkan kekuatan fizikal dan kecergasan untuk beribadat
4. Menghilangkan perasaan marah disebabkan lapar
5. Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat
6. Menjadi sebab kita bangun berzikir dan berdoa kerana waktu itu sangat mustajab
7. Dapat berniat puasa pada mereka yang terlupa berniat di malam hari

"  Ouh, macam tu ke bu, Ateh dah faham..patutlah kita kena bangun sahurkan..tapi bu, macam mana kalau Ateh tak lalu nak makan pagi-pagi sahur tu?"

"ermmmm....Ateh jangan risau, sayang..ada caranya..tengok ni.." Si ibu sekali lagi menunjukkan artikel yang terpampar di komputer ribanya.

Abu Hurairah ra berkata, sabda Rasullullah SAW: sebaik-baik makanan sahur itu bagi orang mukmin adalah kurma."

Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.


"Jadi, adik boleh makan sebiji kurma dan seteguk air..tak susahkan sayang?"

"Ya, ibu..memang mudah..Ateh jadi seronok pula nak puasa.."

Lalu si kecil itu bersama ibunya tersenyum gembira.


Monday, July 5, 2010

SADAQAH


::We Observe We Experience We Lend a Hand::


Sadaqah yang dilakukan seorang dengan cara mengerjakan kebaikan atau ihsan kepada orang lain. Ada kala sadaqah seperti ini lebih utama dan afdal dari bersadaqah dengan harta benda. Misalnya, seperti usaha menyuruh dengan kebaikan dan melarang kejahatan yang bererti mengajak mentaati Allah dan mencegah dari maksiat. Manfaat dari usaha ini tentulah besar kesannya dari bersadaqah harta benda.
Dan, seperti mengajar orang lain akan ilmu berguna, membaca Quran, menghilangkan bahaya di jalan, berusaha mendatangkan sesuatu manfaat, mencegah sesuatu yang menyusahkan dari manusia, berdoa dan memohon keampunan untuk umat Islam dan berdakwah.
Begitu juga menjadi sadaqah kepada orang yang menanam sebarang jenis pokok, kemudian di makan manusia atau makhluk yang lain daripadanya. Dalam sahih Bukhari dan Muslim menegaskan yang demikian, iaitu:
“tiada dari orang Islam yang menanamkan akan tanaman atau membunuh akan tumbuhan, kemudian di makan daripadanya oleh manusia atau burung ataupun binatang, melainkan semua itu menjadi sadaqah baginya”
Segala usaha kebaikan yang dilakukan oleh orang Islam untuk kebaikan orang lain sama ada bersadaqah ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada jiwa atau kepada fikiran mahupun yang bersifat perkara yang mendatang faedah zahir, semuanya menjadi sadaqah bagi dirinya walaupun manfaatnya adalah orang lain. 

 bersadaqah itu penuh dengan kenikmatan seekiranya hati yang menyumbang itu dilimpahi dengan keikhlasan. 
"...If anyone fulfills his brother's needs, Allah will fulfill his needs; if one relieves a Muslim of his troubles, Allah will relieve his troubles on the Day of Resurrection..."


Tuesday, May 11, 2010

Inilah Persaudaraan Islam


Seluruh umat Islam itu bersaudara tanpa dibatasi oleh warna kulit, kaum, loghat bahasa, kaya atau miskinnya, cacat atau sempurnanya.

Apakah kita sudah kenal erti persaudaraan sesama Islam?.



Di zaman ini, kita bagaikan manusia yang hanya mengenal orang dengan berdasarkan wangnya, pangkat dan kehormatan serta keturunannya. Hilang sudah rasa persaudaraan apabila terdapat sedikit khilaf, benci dan dendam menumpuk di dalam hati bila tidak senang melihat kesenangan orang lain. Apatah lagi, harta yang banyak telah menenggelamkan mata hati untuk membantu jiran yang susah di kanan kiri.

Persaudaraan sesama teman dan sahabat kian menjurang kerana kita tidak cuba hendak mengenali. Kita tidak ingin merasakan kesukaran yang dihadapi oleh saudara kita, tetapi sambil mengerling (tahu rasa bersalah) terus melangkah kaki pergi dari kesukaran itu. Dan di dalam minda berkata "Mengapa aku perlu bersusah payah memikir kesusahan orang lain dengan diri aku yang sudah sedia susah". ALlahu ALlah.... beginilah keadaan umat Islam.

"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bersatu teguh bercerai roboh, "Hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama diratah".

Entah, siapa lagi yang ingin memerhatikan ibarat di atas?

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ

"....Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.."
(Al-Maidah : 2)

Di bawah ini menceritakan bagaimana persaudaraan sesama Islam yang ditunjukkan oleh RasuluLlah dan para sahabatnya. Semoga beroleh pengajaran.

Gambaran kerja kaum Muslimin dalam usaha menggali kubu, telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al Barra' r.a dengan katanya :
"Di hari pakatan barisan musyrik dalam peperangan Khandaq, aku telah melihat baginda rasuluLLah s.a.w memunggah pasir dari kubu-kubu hingga tertutup kulit perut baginda RasuluLLah s.a.w. Aku lihat perut baginda penuh dengan debu-debu dan diriwayatkan dari Anas r.a bahawa kaum Ansar dan Muhajirin bertaruh dengan masa mereka menggali kubu dengan memikul tanah-tanahnya dengan kata mereka. "Kami dengan Muhammad bersumpah setia kekal dengan Islam sepanjang usia. RasuluLLah s.a.w menjawab pertaruhan mereka dengan katanya :

"Ya ALlah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikan akhirat. Oleh itu, berkatilah kaum Ansar dan Muhajirin"


Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam hadith sahihnya dari Jabir r.a telah berkata di hari menggali kubu: :

"Kamu telah direntangi oleh seketul batu pejal, sahabat-sahabat bertemu RasuluLLah s.a.w lalu menceritakan: "Ada batu pejal ya RasuluLLah yang merintangi penggali kubu". Jawab RasuluLlah s.a.w : Nanti aku pecahkannya", kemudian baginda terus bangun sedangkan perut baginda diikat dengan batu (untuk menahan lapar). "Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan". RasuluLLah s.a.w mengambil pemecah batu (Al Ma'ul sejenis cangkul) lalu dicangkulnya batu hingga menjadi hancur, Kemudian aku berkata :

"Ya RasuluLLah 'alaihi wasssalam, izinkanlah kepadaku untuk pulang ke rumah, lepas itu aku berkata kepada isteriku: "Aku lihat RasuluLLah S.a.w sudah tidak boleh sabar lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak? Jawabnya: "Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina". "Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui RasuluLLah s.a.w sedangkan tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk di atas tungku lagi tadi hampir-hampir masak.

Aku berkata kepada RasuluLLah s.a.w : Saya ada sedikit makanan, ayuh RasuluLLah s.a.w dengan seorang dua lagi. Kemudian RasuluLlah s.a.w bertanya: "Banyak mana makanan itu?" Aku pun menceritakan kepada RasuluLLah s.a.w. Kata RasuluLLah s.a.w : Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu jangan angkat turun periuk dan juga roti, biarkan di atas dapur hingga aku tiba.

Kemudian RasuluLlah s.a.w berseru kepada sekalian Muhajirin dan sekalian Ansar: "Ayuh bangun dari tempat kamu". Di tengah jalan pula RasuluLLah melaung: "Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu, Bila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata : Apa kata kamu, RasuluLlah telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang lain." Berkata isterinya :"Adakah RasuluLLah s.a.w telah bertanyakan tentang makanan itu?. Jawab Jabir :"Ya!". Jawab isteri Jabir : "ALlah dan RasulNya lebih mengetahui".

Kemudian datanglah RasuluLLah dan baginda berkata: "Ayuh masuk dan jangan teragak-agak." RasuluLLah s.a.w mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah bila diambil sehingga sekalian yang datang kenyang dan banyak bakinya lagi. RasuluLLah s.a.w berkata kepada isteri Jabir: "Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan."

Dalam riwayat yang lain pula kata Jabir : Aku bersumpah demi ALlah, mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi."

SubhanaLlah, RasuluLlah tidak tega melihat dirinya sahaja di dalam kekenyangan sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain menekan perut di dalam kelaparan. Bahkan RasuluLLah sendiri terlibat dengan penggalian parit. Jika difikirkan tentu sahaja orang yang semulia RasuluLLah tidak perlu membuat kerja, berehat dan memerhatikan sahaja sambil bersenang lenang di pembaringan.

Berbeza sungguh sifat kepimpinan baginda yang sanggup turun membantu orang Islam. Memecah batu, memberi makanan sendiri kepada sahabatnya.

Dan begitulah, sejarah selalu menjadi panduan kepada orang yang ingin mengambil iktibar dan pengajaran agar dapat bermuhasabah diri.

Jika seorang susah, kami turut merasakan kesusahannya

Menurut riwayat lain (diceritakan oleh Dr Yusof al Qardhawy dalam kitabnya Iman dan Kehidupan), pernah terjadi dalam suatu peperangan, antara Muslimin dan musuhnya terbentang sebuah sungai. Mereka diperintahkan oleh panglimanya, supaya menyeberangi sungai. Semua patuh kepada perintah dan terjun ke dalam sungai. Sedang musuh melihat mereka dari jauh dengan penuh kegentaran.

Sampai di pertengahan sungai, melihat mereka semua hilang dalam air, seolah-olah tenggelam dan serentak terapung kembali di permukaan air. Musuh mengetahui apa sebabnya kejadian serupa itu. Diketahuinya bahawa salah seorang di antara mereka (tentera Muslimin) jatuh piringnya ke dalam air, lantas berteriak mengatakan : "piringku...piringku...!" Lalu mereka menyelam semuanya mencari piring yang jatuh itu sampai dapat.

Musuh yang memerhatikan hal itu merasa :"Kalau mereka berbuat serupa ini mengenai satu piring yang jatuh kepunyaan salah seorang di antara mereka, apa gerangannya yang akan mereka perlakukan, kalau kita membunuh salah seorang dari mereka!". Akibatnya musuh menyerah kalah kepada tentera kaum Muslimin.

ALlahu..ALlah.. inilah dia persaudaraan Islam yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu.. Bagaimanakah persaudaraan Islam yang kita tunjukkan sekarang ini? ..


Friday, April 23, 2010

Solat Sebagai Pengukur Hubungan Kita Dengan Allah



Oleh : Ibnu 'AtaiLlah Askandari

Ukurlah dirimu dengan solat. Kalau ketika solat ternyata engkau tidak memikirkan segala sesuatu selain Allah, maka berbahagialah. Tetapi, jika tidak demikian, maka tangisilah dirimu setiap kali engkau menggerakkan kakimu menuju solat.

Pernahkah engkau melihat seorang kekasih tidak ingin bertemu dengan kekasihnya ? ALlah Ta'ala mewahyukan :

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ

Ertinya : Sesungguhnya solat akan mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar
(Al Ankabut ayat 45)

Barangsiapa ingin mengetahui kedudukannya di sisi ALlah, maka hendaknya ia perhatikan bagaimana solatnya, ia kerjakan dengan tenang dan khusyuk atau dengan tergesa-gesa dan lalai. Jika solat tersebut ternyata engkau lakukan dengan lalai dan tergesa-gesa, maka taburlah pasir ke wajahmu (sesalilah hal tersebut dengan penuh penyesalan)

Seseorang yang duduk bersama penjual minyak wangi akan mencium aroma wanginya. Sedangkan solat adalah sebuah ibadah yang seakan-akan kita sedang duduk bersama ALlah Ta'ala (kita sangat dekat sekali dengan rahmat, ampunan dan kurnia Allah). Jika engkau duduk bersama Allah, tetapi tidak memperoleh apa-apa. Itu tandanya dalam hatimu terdapat penyakit, entah itu kesombongan, berbangga diri atau ketidaksopanan.

ALlah ta'ala mewahyukan :


سَأَصۡرِفُ عَنۡ ءَايَـٰتِىَ ٱلَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِى ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ


Ertinya : Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku
(Al A'raf ayat 146)

Selepas solat ia tidak sepatutnya bergegas (tergesa-gesa) untuk meninggalkan tempat solatnya. Akan tetapi hendaknya dia berzikir kepada Allah Ta'ala dan beristighfar memohon ampun kepadaNya atas segala kekurangan yang ia lakukan di dalam solatnya. Berapa banyak solat yang tidak layak untuk diterima Allah, tetapi setelah engkau beristighfar memohon ampun kepadaNya atas solat tersebut. ALlah kemudian menerimanya. Dahulu RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam selepas solat beristighfar sebanyak tiga kali.

Sumber : Ibnu 'Atha illah Askandari, Tajul 'Arus, Maktabatul Munawwar, Semarang-Indonesia, 1395 H, hal 13-14.


Thursday, March 11, 2010

Pemikiran Ada Lima Sasaran


Wahai diri,

Sesungguhnya pemikiran itu ada lima sasaran :

1. Berfikir tentang bukti-bukti kebesaran Allah, hal ini dapat menimbulkan Tauhid dan Yaqin.

2. Berfikir tentang anugerah-anugerah Allah, hal ini dalam menumbuhkan Mahabbah dan Syukur.

3. Berfikir tentang janji-janji Allah, ia menumbuhkan kecintaan Hari Akhirat.

4. Berfikir tentang ancaman Allah, ia menimbulkan rasa gentar bermaksiat.

5. Berfikir tentang kekurangan diri sendiri dalam mengabdi, sedangkan terlalu banyak Allah telah memberi kebaikan kepadanya. Ini akan membuahkan rasa malu terhadap Allah.

Semoga engkau dapat memperbanyakkan fikiran seperti ini. Dan semoga masa yang masih tersisa tidaklah dibazirkan dengan memikir perkara yang tidak menguntungkan.

Rujukan : Drs. H. Aliy As'ad. Nasha'ihul 'Ibad, Menara Kudus.


Thursday, February 18, 2010

Wahai Sang Daie..Perbaikilah Dakwahmu..


Insya Allah, bulan ini kita bersama-sama mengenang kembali peristiwa kelahiran RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Walaupun ada perbezaan pendapat mengenai kebolehan menyambut Maulidul Rasul ini. Namun saya mengambil pendapat yang membolehkan kerana ternyata ia membawa banyak kelebihan disamping menghidupkan kecintaan kepada RasuluLlah dan semoga ia membangkitkan motivasi untuk meneladani kehidupan RasuluLlah sebagai seorang daie yang berjaya dalam menyebarkan Islam dengan cara yang paling berhikmah dan berkesan.

Dakwah di zaman serba pantas dan mencabar ini menuntut pendekatan dakwah yang lebih sistematik, berilmu dan berhikmah dalam mengajak mad'u ke arah jalan yang diredhai ALlah. Dahulu kemungkinan para pendakwah yang berjasa terpaksa melalui perjalanan yang jauh untuk berhubung dan terpaksa mengambil waktu yang lama untuk sampai ke daerah mad'u. Sehinggakan ada pendakwah yang perlu tinggal tetap dan matinya juga di tempat ia berdakwah tersebut.

Pendakwah masa kini pula semakin mudah cara berhubung antaranya menggunakan keyboard dan mouse serta peralatan seperti broadband serta pengetahuan asas dalam IT (teknologi maklumat) untuk bergerak dengan lebih meluas.

Pengetahuan Para Jurudakwah

Wahai para daie yang dimuliakan Allah, tingkatkan ilmu dan kefahaman. Jika dahulu mungkin engkau di dalam tempurung kejahilan. Maka hilangkanlah kejahilan itu dengan cahaya ilmu. Duduk bersama-sama para guru dan ulamak yang ikhlas mengajar. Belajarlah ilmu dengan disiplinnya serta adab-adab dalam belajar. Ketahuilah mad'u yang dihadapi nanti berbeza-beza tahap pengetahuan dan latar belakang hidup serta budaya yang tidak sama dengan apa yang engkau jalani selama ini.

Sekiranya engkau berhijrah di negara orang yang berbeza sosio budayanya. Dan apabila engkau kembali ke negara sendiri jangan pula terbawa-bawa dengan cara hidup di negara lain yang jelas tidak sama dengan kehidupan di tempat kelahiranmu sendiri.

Hikmah Itu Apa ?

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ (١٢٥)




ertinya :

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
(Surah an Nahl : ayat 125)

Para Daie yang dimuliakan Allah,

Hikmah itu adalah segala yang benar yang berkaitan dengan i'tikad, kefahaman dalam agama, amalan dan kebijaksanaan. Ia juga bererti akal dan kefahaman. Amat malang sekiranya 'dakwah' seorang dai'e itu hanya menyebabkan mad'unya lari.

Amat merugikan apabila mad'u pula semakin berburuk sangka akibat kesalahan da'ie dalam berdakwah disebabkan kejahilannya yang mengakibatkan Islam itu dipandang negatif.

Contoh Adab Para Dai'e Di Perkampungan Orang Asli :

Sekiranya tuan-tuan yang dimuliakan pernah didedahkan tentang orang asli dan ingin berdakwah di tempat kaum yang istimewa ini. Ada adab yang perlu diikuti :

  • Sebelum berkunjung ke perkampungan orang asli, jangan lupa untuk bertemu dengan 'penghulu' atau Tok Batin terlebih dahulu yang telah dipilih orang mereka. Ini kerana pengaruh Tok Batin amat kuat dan dipatuhi oleh anak buahnya.
  • Jangan menunjukkan rasa jijik dengan kehidupan mereka yang sudah tentu amat berbeza dengan kehidupan kita.
  • Bersabarlah dengan sifat mereka yang pemalu.
  • Dekati anak-anak orang asli, ini akan menyenangkan kita untuk menarik hati ibu ayah mereka.
  • Jika boleh, ketika waktu makan, ajaklah orang kampung untuk bersama-sama makan.
  • Gunakan bahasa yang paling mudah untuk difahami.
  • Jangan menegur sekiranya ternampak ada benda yang pelik digantung di rumah mereka.
  • Sekiranya diajak untuk makan makanan yang dihidang oleh saudara kita ini. Tetapi kita sendiri tidak berselera, maka tolaklah dengan cara baik yang tidak menyebabkan mereka berasa hati.
  • Satu bonus bagi para daie sekiranya dapat berbual dalam bahasa orang asli untuk berkomunikasi.
  • Jangan berjanji sekiranya tuan sendiri tidak yakin dapat menunaikan janji tersebut. Kerana mereka amat menepati janji dan punya jiwa yang sensitif.
  • Jangan banyak meminta tetapi lapangkan tangan untuk memberi.
Sekiranya kita rajin membuka kisah kehidupan RasuluLlah, maka kita akan dipertontonkan dengan kecantikan akhlak RasuluLlah dalam berdakwah. Musuhnya semakin kurang, yang mencintainya semakin ramai. Bahkan Baginda dihormati oleh kawan dan lawan. Lalu jangan lupa untuk melihat pula akhlak para sahabat yang berjaya dididik oleh RasuluLlah.

Tingkatkan Kualiti Dalam Berdakwah

Wahai para daie yang dipilih ALlah di jalan ini.. perbaikilah adabmu dalam mendidik mereka yang memerlukan bantuanmu. Sekiranya dengan mereka yang bukan Islam engkau dapat berlemah lembut dan berkata baik, mengapa dengan sesama saudaramu sendiri engkau berkasar dan menyakiti hatinya ?

Ingatlah wahai para daie, kesalahan yang dilakukan oleh mad'u itu adalah cerminan bagi diri kita sendiri. Usahlah menganggap diri kita ini sudah suci dari dosa sedangkan dakwah yang dilakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah di samping menebus kesalahan yang pernah dilakukan selama ini. Mudah-mudahan dengan amal jariah yang kita lakukan, Allah memandangnya sebagai amal kebaikan atau pengampunan dosa samada kecil atau besar yang pernah diperbuat selama ini.

Masa Yang Kita Ada

Sedarkah wahai para daie yang dimuliakan Allah ? Usia yang ada amat singkat dibandingkan dengan amanah yang diserah oleh Allah di bahu kita ini. Masa yang semakin sempit, zaman semakin buas, nafsu ammarah menyelinap di dalam jiwa tidak putus-putus, godaan iblis dan syaitan datang silih berganti untuk membantutkan usaha mengajak ke arah kebaikan dan nasihat yang berhikmah.

Di mana pula tempat kita di akhirat nanti ? Di golongan yang kanan atau golongan yang kiri ?

Rujukan :

1. Ahmad Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman al Hakim, Cet Pertama 2009, Telaga Biru, Selangor.

2. Dr Muhammad Said Ramadhan Al Buthi, Rahsia Dakwah Yang Berkesan, Cet Pertama 1997, Pustaka Ilmi, Selangor.


Wednesday, February 10, 2010

Tentang Sabar


Hendak sabar bukan senang, tetapi untuk menjadi kurang sabar dan gopoh amat mudah. Mungkin kerana itulah kesabaran itu tinggi nilainya di sisi ALlah. Mungkin kerana itu, para Nabi dan Rasul yang memahami erti sabar tetap teguh dan tetap menjalankan dakwah. Begitulah juga dengan para ulamak yang kuat taqwanya kepada ALlah bersabar dalam apa jua dugaan dan ujian.

Antara masa yang perlu sabar

Dalam gembira kena sabar. Sebab ALlah boleh juga menarik kegembiraan itu pada bila-bila masa. Dalam gembira pun terkadang ada ujiannya. Tengah gembira terloncat-loncat tiba-tiba terhantuk kepala, sedang gembira menerim hadiah jam tangan baharu dan cantik tiba-tiba ia calar sedikit. Apa rasa dalam hati? - mungkin ALLah mahu kita bersyukur kepadaNya dahulu. Apa tanda kita bersyukur?

Dalam berdakwah kena sabar. Arena dakwah bukan untuk mengharap pujian. Mungkin yang diterima adalah kutukan dan cercaan. Bukan juga bermakna apabila berdakwah orang pasti terima apa yang didakwahkan. Kajilah sirah bagaimana sabarnya Nabi dan Rasul di dalam berdakwah kepada manusia. Ingat wahai pendakwah... kita usaha, natijahnya serah pada ALlah semata.

Dalam berkawan kena sabar. Jika tidak sabar, dah lama menyinsing lengan, bertumbuk. Kawan yang makan kawan, kawan yang menikam belakang, kawan yang tak kenang budi. Oh, macam-macam bila kepala tidak sekapal. Semuanya harus pandai pula dijaga hati, walaupun hati sendiri tiada yang jaga. Tidak mengapa, ALlah lebih tahu.

Dalam kesusahan kena sabar. Hidup bagaikan roda yang naik dan turun, semalam senang dan tiba-tiba esoknya dah susah pula. Untuk mencari hikmah dalam setiap apa yang ALlah beri tidak tercapai dek akal. Beruntung jadi orang beriman, bila ada masalah diserahkan kepada ALlah dan bertawakkal dengannya.

ALlah sudah menyebut yang bererti :
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.


( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )

Dalam kejayaan pun perlu sabar. Mungkin agaknya perlu ditilik kembali kejayaan yang diperolehi adakah sekadar angka-angka yang dapat tetapi kualitinya adalah kosong? Agaknya perlu juga diselidiki kejayaan yang dicemari dosa, adakah keberkahannya? Contohnya : si fulan mendapat 19A dalam SPM, atau cgpa 4.00 tetapi beliau tidak pernah solat. Adakah ini namanya tertipu?

Susah sebenarnya hendak bersabar dibanding dengan menyebut SABAR. Apa salahnya kita bersabar sebab ALlah akan beri ganjaran yang banyak kepada orang yang bersabar. Tidak percaya ?

مَا عِندَكُمۡ يَنفَدُ‌ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍ۬‌ۗ وَلَنَجۡزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓاْ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا ڪَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٩٦)

(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
(Surah An Nahl : 96)

Solat pun kena sabar?

Bukan sahaja solat pun kena sabar, untuk mengajar anak solat pun kena sabar. Sila gunakan segala pendekatan terbaik dalam mendidik anak untuk solat, kerana pertama-tama perkara yang akan ditanya di Hari Kebangkitan nanti oleh ALlah adalah solat.

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ (٤٥)


Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
(Surah Al Baqarah : Ayat 45)

Solat adakah sekadar kewajipan sahaja tanpa cuba mendapatkan khusyuknya? Untuk menambahkan kelazatan beribadah pastikan solat itu apa tujuannya? Kepada siapa kita mengadap? Apa yang dibaca semasa solat? Dapatkah memisahkan diri dengan alam sekeliling untuk mendapatkan sedikit waktu berbicara dengan ALlah? Pernah merasakan solat yang dibuat adalah solat yang terakhir ? Takut juga sekiranya amalan solat itu dicampak semula ke muka.

Jika di dalam solat yang mengandungi pelbagai keistimewaannya : disiplin, dari segi penemuan sains, ukhuwah sesama Islam, kesatuan - tentu ada kesannya pada kesabaran mengerjakan solat dan lihatlah bagaimana sabarnya seorang pesuruh ALlah di dalam menerima perintah agar solat 50 waktu sehari semalam dan meminta kepada ALlah agar dikurangkan kepada 5 waktu sahaja.

Sabarlah ya.. Dalam mencari redha ALlah, pahitnya sabar, dan manisnya rahmat dari ALlah.


Friday, January 29, 2010

Mungkin Dia Sebenarnya Temanmu




Kawan, sahabat, rakan, geng, saing, teman, dan bermacam istilah diberikan untuk orang yang boleh berkongsi jiwa dan rasa. Begitu jugalah yang dapat memberikan 'sesuatu' pada diri sendiri. Samada berbentuk input rohani, jasmani, atau juga input buah fikiran.

Kawan amat kuat pengaruhnya pada diri individu. Tambahan pula yang baharu hendak kenal dunia, yang baharu hendak bertatih dalam alam yang selama ini 'asing' bagi dirinya. Dan begitulah siapa sahaja yang berada di sekeliling berpotensi untuk menjadi seorang kawan. Samada beliau boleh diharap atau diri sendiri yang tinggal berharap.

Cuba tanya sendiri - dalam beberapa waktu ini, masih ada atau tidak hubungan hati dengan mereka yang dipanggil kawan, teman, sahabat dan yang sewaktu dengannya itu? Atau sebenarnya perlahan-lahan ingatan terhadap mereka semakin menghilang di telan waktu? Dan jangan terkejut terkadang tiba-tiba menerima sms dari kawan yang dahulu tidak kunjung berita. Cuma kali ini tujuan menyapa adalah untuk membawa 'bisnes punya cerita'. - Sekiranya ini pernah menimpa juga - sabarkanlah dulu jiwa. Semoga ALlah menenangkan hati kita setenang-tenangnya dengan kawan seperti ini.

Untuk mencari kawan memang mudah (ini bagi yang peramah), atau sukar (bagi yang masih 'berat mulut', mungkin juga malu kerana jarang berhubungan dengan manusia) adalah dari diri sendiri juga datangnya. Malahan tentu guru di sekolah pernah berceloteh panjang bercerita tentang bagaimana cara mencari seorang kawan atau teman. Atau ibu dan ayah pernah menasihati 'cari kawan yang macam nih', jangan berkawan dengan orang yang macam itu'. Selagi nasihat dijadikan bekalan insya ALlah selamatlah diri dalam menyelusuri kehidupan. Tetapi jika perkataan yang baik itu hanya lepas di pelipis telinga, takut bahaya sedang menanti di hadapan sana.

RasuluLLah pernah bersabda yang bererti :
"Seseorang itu akan mengikuti agama sahabatnya, oleh kerana itu, setiap orang dari kamu sekalian hendaknya memperhatikan siapa yang ia jadikan sebagai teman
(Hadith riwayat At Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad)

Teman yang berbau wangi atau berbau besi

Telah disebutkan oleh Habib AbduLlah bin Alwi al Haddad :

Sabdaan RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :

"Permisalan teman duduk yang baik adalah seperti penjual haruman misk (wangian yang paling mahal dan harum). Boleh jadi dia memberimu, atau engkau membeli wangiannya atau engkau mencium keharuman wangiannya. Sedangkan misalan teman duduk yang buruk adalah seperti tukang besi. Boleh jadi dia membakar pakaianmu, atau engkau akan mencium aroma busuk darinya "
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dengan matan sedikit berbeza)
Barangsiapa yang ingin mengetahui bagaimana pengaruh pergaulan dengan temannya tersebut apakah ia dapat menguatkan iman, kesedaran beragama dan amalnya, ataupun sebaliknya. Maka hendaklah bandingkan keadaannya setelah bergaul dengan orang itu dengan keadaan sebelum ia bergaul dengannya.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi iman, akhlak, niat-niat baik untuk beramal semakin kuat dan kukuh. Sedangkan keburukan dan kejahatannya semakin kecil, maka pergaulan dan persahabatannya itu bermanfaat bagi agama dan hatinya. Jika pergaulan itu diteruskan, maka Insya aLlah ia akan memperolehi manfaat yang sangat besar dan kebaikan yang sangat banyak.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi-sendi keagamaannya menjadi semakin lemah dan menurun, sedangkan kejahatan dan keburukannya semakin banyak. Maka pergaulan tersebut telah membahayakan agama dan hatinya secara nyata. Sekiranya pergaulan tersebut dilanjutkan, maka akan membawa keburukan dan bahaya besar baginya. Semoga ALlah melindungi kita darinya.

Timbanglah semua pergaulan dengan apa yang telah kami sebutkan di atas. Dan perlu diketahui, ketentuan di atas berlaku sesuai dengan mana yang lebih kuat.

Ertinya, selama kebaikan lebih kuat, maka diharapkan pergaulan tersebut mampu menarik orang-orang jahat untuk menjadi baik. Dan selama keburukan lebih kuat, maka dikhuatiri orang baik yang bergaul dengan penderhaka tersebut akan mengikutinya dan menjadi buruk.

Permasalahan ini sangat pelik, orang-orang yang memiliki mata hati yang jernih akan memahaminya. Diperlukan waktu yang banyak untuk membahaskannya secara terperinci.
Habib AbduLLah bin Alwi al Haddad, Al Fushulul Ilmiyyah Wal Ushulul Hikamiyyah, Darul Hawi, cet 2, 1998, hal 106.

Tunggulah juga, di waktu dalam kesusahan, di waktu datangnya ujian, di waktu datang kesedihan. Akan dikenal siapa kawan dan siapa lawan. Biarpun mungkin satu hari nanti bila terjadi 'kekecohan' dengan kawan. Berikan sedikit ruang di dalam hati untuk memaafkan. Masa terlalu sempit untuk berlama-lama dalam bermusuhan.


Thursday, January 14, 2010

Jika Dia Adalah Aku...


Assalamu'alaikum sahabat yang dirahmati ALlah..

Pernah suatu hari kami bergotong royong membersihkan kuburan bersama rakan sejawatan. Tempat yang sunyi pada zahirnya, hakikatnya pelbagai keadaan yang dihadapi oleh para penghuninya.

Sebelum pulang rakan saya bertanya sambil matanya melirik melihat kuburan yang ada " sheikh (hanya panggilan semata-mata) kat mana ya kubur kita nanti...". Kelu lidah saya untuk menjawabnya, siapalah saya untuk menentukan di mana tempat akhir persemadian dan bagaimana pula keadaan ketika berada diperut bumi itu nanti. Cuma diri ini amat berharap, biarlah kesudahan dalam keadaan yang baik, dan perjuangan di alam kebangkitan berjalan dengan baik dan natijah yang terbaik. ALlah jualah yang menentukan.

Jika dia adalah aku...

Dia yang dimandikan dengan air mutlak bercampur kapur barus, dibasuh dengan tangan, disela-sela celahan jari jemari. Rambut digosok perlahan, badan dilumur dengan air sabun. Dibaringkan ke kanan dan kiri. Ditekan-tekan perut lalu dibersihkan dubur dan qubulnya. Sesudah dimandi wajib dan diambilkan air wudhuknya. Lalu dikeringkan air dengan kain batik lepas. Untuk dikafankan.

Dia dibaringkan lalu dikafankan dengan kain putih dan seluruh tubuhnya juga ditutupi dengan kapas. Matanya dicelakkan, Ketika itu terdengar di kiri kanan ahli keluarganya yang menangisi keadaannya. Bukankah dia itu sebelumnya dapat melihat, bergelak ketawa, bergurau senda, makan dan minum bersama-sama. Kini telah matanya rapat, tangannya diqiam terbujur kaku!

Dia diletakkan di hadapan imam. Di bahagian kepalanya imam berdiri tegak, bersama-sama makmum untuk disolatkan. Dan seusai solat, doa pun dipanjatkan :

Ya ALlah! Ampunilah dan rahmatilah dia. Afiatkanlah dia dan ampunkanlah dia. Muliakanlah tempat persinggahannya dan luaskanlah tempat masuknya. Basuhkanlah dia dengan air, salji dan embun. Sucikanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana disucikan pakaian putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya dengan rumah yang lebih baik, ahli keluarganya dengan ahli keluarga yang lebih baik dan pasangannya dengan pasangan yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka.


Di akhir perjalanan proses perpisahan dari alam dunia menuju ke alam baqa'. Wajahnya dibuka untuk tatapan terakhir. Sebelum dibawa pula ke perut bumi, alam persinggahan sementara menunggu hari pengadilan.. Menitis lagi air mata, dengan teriak tangis kaum keluarga. Sudah berpisah dia dengan hartanya, anak isterinya dan segala kesenangan dunia.

Tubuhnya pun diangkat beramai-ramai, diletakkan di dalam 'kenderaan akhir'. Disambut pula oleh penggali kuburan untuk di'simpan' di kediaman yang baharu. Dengan hati-hati jasadnya diturunkan ke liang lahad lalu diletakkan gumpalan tanah agar badannya mengiring dan wajah menghadap kiblat. Papan demi papan diletak bersusun di atasnya. Berderap bunyi tanah untuk menimbus tubuh yang kaku itu. Hinggalah sampai masanya batu nisan dipacakkan.

Kini dia keseorangan, mungkin di dalam kegelapan atau bersama-sama cahaya. Dia tidur tenang atau diseksa..Sementara menunggu-nunggu hari dihisab pula..

Jika dia adalah aku.... (sedangkan aku tidak tahu dimana tempat dan amalan yang dapat dibawa pergi bersama-sama untuk bersemadi)

Ya ALlah, berikanlah kami didunia ini dengan segala kebaikan, dan di akhirat nanti dengan segala kebaikan, dan jauhkanlah kami dari api neraka.. Aminn Ya ALlah..


Saturday, January 2, 2010

Penggunaan Nama ALlah Oleh Agama-Agama Lain


Assalamu'alaikum,

Tajuk penggunaan kalimah ALlah dalam bible nampaknya bangkit kembali apabila Mahkamah Tinggi telah meluluskan penggunaannya baru-baru ini.

Artikel di bawah ini ditulis oleh Dr Asmadi Mohamed Naim berhubung dengan isu ini. Selamat membaca semua.

Sehingga Mac 2009 polimik penggunaan nama Allah berterusan di Malaysia apabila Gereja Kristian di Malaysia mahu menggunakan nama tersebut dalam penerbitan mereka di atas dakwaan kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan. Dalam konteks Malaysia, Islam sebagai agama rasmi di negara ini, telah mempunyai beberapa peraturan untuk menjaga kesucian agama Islam dan ia dijamin juga oleh perlembagaan. Bahkan di negeri-negeri, Raja-Raja Melayu memiliki kekuasaan untuk menjaga isu-isu agama termasuklah hak esklusif penggunaan nama Allah untuk agama Islam.

Perdebatan berkenaan dengan penggunaan nama Allah oleh agama lain mengundang dua pandangan berbeza di kalangan umat Islam samada di kalangan ahli agama, mahupun masyarakat awam.

Terdapat golongan memandang nama ‘Allah’ sememangnya digunakan oleh al-Quran untuk menceritakan bagaimana kepercayaan umat-umat terdahulu. Sebagai contoh, dalam surah Luqman, ayat 25. Allah SWT bermaksud:

Sekiranya kamu bertanya mereka (orang-orang kafir), siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah. Katakan (wahai Muhammad): Segala puji bagi Allah. Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui.


Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat 61, Allah SWT berfirman bermaksud:

Dan sekiranya kamu bertanya mereka siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi dan yang mengaturkan matahari dan bulan, nescaya mereka mengatakan Allah. Justeru kenapakan mereka berpaling (dari) mentauhidkan Allah?


Golongan ini mengatakan bahawa al-Quran sendiri menyebut bahawa masyarakat bukan Islam menggunakan istilah ‘Allah’ untuk tuhan.

Pada saya, ada beberapa perkara yang perlu diteliti dalam memperbahaskan isu penggunaan nama Allah.

Pertamanya,

kitab-kitab agama-agama langit terdahulu tidak diturunkan dalam bahasa Arab, justeru tidak timbul langsung penggunaan istilah ‘Allah’ untuk agama-agama langit seperti ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Al-Quran kemudiannya menjelaskan bahawa konsep tauhid agama tersebut yang asal ialah kepercayaan kepada Allah SWT walaupun telah diselewengkan oleh para pendeta dan paderi. Hakikat bahawa kitab-kitab Yahudi dan Kristian bukan berbahasa Arab iaitu taurat dan injil (bible), keduanya tidak menggunakan nama ‘Allah’ untuk merujuk tuhan mereka. Sebaliknya Islam tidak pernah menggunakan istilah yang mereka gunakan terhadap Allah sebagai nama kepada tuhan di dalam ajaran Islam.

Keduanya,

ayat-ayat yang disebutkan di atas adalah berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Contohnya, ayat 23 dan 24 Surah Luqman menceritakan orang-orang yang kufur terhadap Allah SWT dan mereka ditimpakan dengan azab yang pedih. Justeru, di kalangan mereka yang kufur (menyembah selain dari Allah SWT), jauh di sudut hati mereka mengakui adanya tuhan yang esa yang menjadikan langit dan bumi. Ini tidak menandakan orang-orang kafir menggunakan lafaz Allah dan menyembah Allah sebagai tuhan mereka.

Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat sebelumnya menceritakan rahmat Allah.
Sekiranya ditanya kepada orang-orang kafir siapakah tuhan mereka, nescaya mereka akan mengatakan Allah. Namun mereka tetap berpaling. Iaitu mereka masih berpaling dengan tidak meyembah Allah SWT
.
Justeru, ayat ini tidak boleh digunakan untuk menunjukkan tuhan mereka ialah Allah SWT.


Ketiganya,

kemungkinan ada pandangan mengatakan ‘orang-orang Arab Jahiliyah’ menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada ‘tuhan’. Benarkah begitu? Sebaliknya orang-orang Arab sebelumnya banyak menggunakan perkataan ‘ilah’ untuk merujuk kepada tuhan, contohnya ilah latta dan ilah al-uzza.

Sebaliknya, al-Quran datang menggunakan perkataan ‘Allah’ dan bukan perkataan ‘ilah’ bersama penafian Allah itu mempunyai anak, dan penafian Dia mempunya pembantu yang terdiri dari ilah-ilah yang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun, ayat 91 yang bermaksud:

Dan tidaklah Allah mempunyai anak, dan tidaklah bersamanya tuhan yang lain (sebagai pembantu). Oleh itu, sekiranya setiap tuhan memutuskan keputusannya sendiri, nescaya sesetengahnya di atas sesetengah yang lain (menguasai yang lain), mahasuci Allah daripada apa yang mereka sifatkan.


Keempatnya, umat Islam perlu mempertahankan penggunaan nama ‘Allah’ hanya untuk orang-orang Islam kerana beberapa sebab, antaranya:

i. Antaranya penggunaan perkataan ‘Allah’ telah melalui proses penyucian dari segala kesyirikan yang muncul dari zaman selepas nabi-nabi sebelumnya sehingga hari ini sehingga diiktiraf sebagai tuhan orang-orang Islam. Sila lihat kamus-kamus moden bagi membuktikan perkara ini. Justeru itu, membenarkan penggunaan istilah itu kepada bukan Islam adalah satu tindakan ke belakang untuk kembali ke zaman penggunaan nama Allah yang dipenuhi kesyirikan. Sekaligus, ia mengenepikan usaha al-Quran yang berulang kali menafikan sifat-sifat kesyirikan (mempunyai anak dan pembantu-pembantu) yang ada pada zat Allah SWT.

ii. Berpegang pada pandangan bahawa dalam al-Quran menyebut orang-orang kafir menggunakan penggunaan nama Allah, adalah pandangan yang cetek. Tidakkah mereka membaca bersama bahawa al-Quran berulang-kali mensucikan nama ‘Allah’ dari bersifat dengan sifat kelemahan.

iii. Kalau benarpun, ada penggunaan ‘Allah’ sebelum Islam, ia adalah nama umum, yang kemudiannya menjadi nama khusus untuk tuhan orang-orang Islam setelah melalui proses mensucikan nama Allah SWT dari segala sekutu yang tidak layak untuknya.


Semoga membantu kita memahami kepentingan isu ini. Untuk tidak mengulang perbahasan lanjut, saya suka juga merujuk kepada artikel di bawah yang boleh dijadikan rujukan dalam isu ini.

Sekian, wallahu a’lam.

Dr Asmadi

4 Mac 2009

Bacaan tambahan boleh juga dibaca di sini :


Wednesday, December 23, 2009

Umur Kita


Renungkanlah pendeknya umurmu. Andaikata engkau berumur seratus tahun sekalipun, maka umurmu itu pendek jika dibandingkan dengan masa hidupmu kelak di akhirat yang abadi, selama-lamanya.

Cuba renungkan, agar dapat istirehat selama dua puluh tahun, dalam satu bulan atau setahun engkau sanggup menanggung berbagai beban berat dan kehinaan di dalam mencari dunia. Tetapi mengapa engkau tidak sanggup menahan beban ibadah selama beberapa hari demi mengharapkan kebahagiaan abadi di Akhirat nanti?

Jangan panjang angan-angan, engkau nanti akan berat untuk beramal. Yakinilah bahawa tidak lama lagi engkau akan mati. Katakan dalam hatimu :

"Pagi ini aku akan beribadah meskipun berat, siapa tahu nanti malam aku mati. Malam ini aku akan bersabar untuk beribadah, siapa tahu besok aku mati."


Sebab, kematian tidak datang pada waktu keadaan dan tahun tertentu. Yang jelas ia pasti datang. Oleh kerana itu, mempersiapkan diri menyambut kedatangan maut lebih utama dari mempersiapkan diri menyambut dunia. Bukankah kau menyedari betapa pendek waktu hidupmu di dunia ini? Bukankah boleh jadi ajalmu hanya tersisa satu tarikan dan hembusan nafas atau satu hari?

Setiap hari lakukanlah hal ini dan paksakan dirimu untuk sabar beribadah kepada ALlah. Andaikata engkau ditakdirkan untuk hidup selama lima puluh tahun dan kau biasakan dirimu untuk sabar beribadah, nafsumu tetap akan memberontak. Tetapi ketika maut menjemput kau akan berbahagia selama-lamanya.

Tetapi jika engkau tunda-tunda dirimu untuk beramal, dan kematian datang di waktu yang engkau tidak sangkakan, maka kau akan menyesal dengan penyesalan yang tidak berpenghujung..

Habib AbduLLah bin Alwi al Haddad, An Nasha'ihud Diniyyah Wal Wasoya al Imaniyyah, Beirutm cet 1, 1992, hal 245-246.

Sumber :
Novel bin Muhammad Alaydrus, Orang Bijak Berkata - Kumpulan Nasihat Sepanjang Masa, Cet 5 2008, Penerbit Taman Ilmu, Semanggi-Surakarta.


Thursday, December 17, 2009

Salam Ma'al Hijrah 1431



Sunday, December 13, 2009

Anda Ingin Bercinta ?


Tazkirah ini sudah lama.. tetapi mungkin masih bermanfaat lagi untuk semua.

Zaman remaja adalah zaman untuk mencari dan mengenal diri. Setelah akal semakin mampu untuk berfikir jauh. Sekurang-kurangnya sudah mengenal mana baik dan buruk, halal dan haram, najis dan yang suci, syurga dan neraka.

Umur sebegini, orang muda cenderung untuk hidup di dalam perkumpulan. Gemar juga untuk mencari penyelesaian di luar rumah dibandingkan dengan berbincang dengan ibu dan ayah. Dan ketika inilah jiwa sudah menyubur untuk mengenal apa itu cinta (berlainan jenis).

Mengapa bercinta?

Terkadang bercinta dengan sebab ikut-ikutan (kerana melihat kawan sedang 'bahagia'). Terkadang ia bercinta supaya 'pointer' selalu meningkat naik. Dan katanya agar ada teman yang dapat memberi nasihat. Alamat.. jika salah bercinta, bubur tidak akan kembali menjadi nasi..

Sebelum bercinta fikirkan perkara-perkara ini wahai orang muda :

1. Sudahkah anda bersedia untuk bercinta?

Adakah sudah bersedia menghadapi risiko di dalam percintaan? Adat orang mengatakan cinta itu bersatu, dan ada kalanya ia membutakan mata. Manakala yang tidak nampak jalannya habis hancur masa depan hidupnya.

Cinta tidak semestinya bersatu, ada kalanya ia terputus di tengah jalan. Dan ada kalanya ia berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Risiko putus cinta selalu membuatkan manusia seolah-olah putus asa. Hilang hala tuju hidupnya. Entah berapa ramai yang sudah menamatkan nyawanya sendiri bila cinta nafsu lebih diharapkan dari cinta kepada Illahi.

2. Apa matlamat Anda bercinta?

  • Mungkin untuk merosakkan anak gadis atau hati orang lain?
  • Ikut-ikutan atau suka-suka sahaja?
  • Untuk mencari pengganti pasangan yang telah pergi? (tetapi sekiranya ia ingin kembali semula suatu hari nanti, anda dengan rela diri meninggalkan pasangan baru anda yang telah diberikan harapan?
  • Sekadar cinta monyet yang tiada matlamat di masa hadapan?
  • Untuk mendirikan rumah tangga yang membawa kasih sayang dan rahmat dari ALLah?
Orang yang mulanya bercinta - hatinya akan berbunga-bunga. Tidak ia sedar apa yang berlaku di sekelilingnya kerana disibukkan dengan apa yang dicintainya. Segalanya nampak cantik, molek, comel dan sempurna belaka. 'Pijak semut tidak mati'. Segalanya berjalan dengan penuh optimis dan positif. Lalu mungkin 'menipu diri sendiri' sudah menjadi pegangan agar hubungan berlangsung dengan menarik dan dapat dikekalkan.

Apabila perhubungan cinta anda mulai 'berkelap kelip' - mulalah anda akan berfikir semula akan buruk dan baiknya pasangan anda. Mungkin ketika ini anda akan berusaha mencari solusi. Sekiranya berjaya perhubungan anda akan berjalan seperti biasa. Dan sekiranya dalam bahaya, ia akan membawa kepada 'putus cinta'. Perkataan inilah yang menjadi penghancur jiwa, rasa kecewa, terhina, rendah diri, sakit hati, dendam, putus asa. Maka istilah-istilah cinta yang dahulunya berkisarkan fantasi, anda akan sedar ia bukanlah realiti.

Menjadi hipokrit satu perkara, iaitu masalah yang akan dibawa apabila hidup di dalam sebuah rumah di atas pernikahan yang sah. Segala-galanya yang 'cantik', 'molek' akan ditunjukkan juga sebagai satu hakikat yang perlu anda terima. Samada anda terima dengan terpaksa atau redha selamanya.

3. Mengapa Anda Bercinta?

  • Kerana ALLah?
  • Kerana cantik rupanya? Mancung hidung, kumisnya tebal? Badannya serupa model? - yang pasti semuanya ini tidak kekal lama. Berapa ramai wanita yang menghidapi sakit barah kulit kerana taksubnya kepada yang dinamakan 'KECANTIKAN' ? Berapa ramai pula yang sanggup berhutang, mengorbankan identiti seorang Muslimah dan Muslim kerana tertarik dengan namanya KEMODENAN?
  • Kerana duitnya? Harta yang bertimbun?
  • Kerana empunya diri itu sendiri?
  • Kerana Agamanya? Ia akan di bawa di dunia dan akhirat. Tetapi ramai juga yang terjerumus di lembah hina. Kerana yang dibawa rupanya selama ini adalah nafsu tetapi disolek dengan nama Agama.
Anda akan dapat apa yang anda niatkan. Ingat perjalanan cinta sesama manusia amat jauh, dan mungkin juga dekat, ataupun ia satu perjalanan yang tidak pasti.

4. Apa Modal Untuk Bercinta?

  • Adakah dengan modal air liur? Atau jari jemari menulis sms?
Sedarkah anda? apabila bercinta dan anda meletakkan sesuatu di dalam hati seseorang. Ini telah memberikan ia pengharapan baru dalam hidupnya. Dan ia akan berusaha untuk mencapainya. Jika cinta anda sekadar cinta monyet, cinta untuk merosakkan anak orang, ikut-ikutan dan hanya menjadikan orang lain sebagai batu galas - CINTA NAFSU. Eloklah lupakan sahaja. Anda hanya akan menjadikan diri anda sendiri bahan fitnah yang akan orang ingat sampai bila-bila.

Sedarkah anda? Mahligai perkahwinan itu memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari segi jari jemari dan air liur. Tetapi lebih dari itu adalah modal ilmu untuk mendirikan sebuah keluarga yang beragama, cintakan ALLah dan rasul-Nya. Modal harta iaitu pekerjaan dari sumber rezeki yang halal untuk anda berikan kepada isteri, dan anak-anak. Modal hati dan perasaan untuk dikongsi, difahami, kesabaran dan sebagainya.

5. Berapa Lama Anda Ingin Bercinta?

  • Seminggu?
  • Sebulan?
  • Tiga, empat tahun?
  • Sehingga habis belajar?
  • Cinta hingga ke akhirat?
Apabila anda bercinta, setiap pasangan pastinya ingin mengetahui sampai bilakah mereka akan bercinta? Dan apabila perhubungan itu diketahui oleh sang ibu dan ayah, tentunya mereka akan bertanya bila pula tarikh merisik, pertunangan dan perkahwinan pula akan dijalankan? Dan tentunya kaum kerabat pula akan tertanya-tanya, dengan siapa anda berkawan. Mungkin ada yang sudah diusung ke hulu dan hilir - orang kampung pun sudah mulai berbisikan. Walaupun anda sangkakan di bandar orang bersikap tidak ambil peduli. Tetapi malaikat di kiri dan kanan tetap juga menulis catatan..

6. Kos Cinta

  • Duit yang anda habiskan semata-mata untuk sidia - telefon (sms, mms, chat etc), bil elektrik, bil internet,
  • Masa yang anda korbankan untuk sidia
  • Hati dan perasaan

Sikap Matang Dalam Mencari Cinta

Wahai pemuda dan pemudi, menyebut perkataan cinta sesama manusia itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya amatlah payah. Bercinta bukan menjadi tiket yang menghalalkan anda menyerahkan jasad kehormatan anda. Bukan juga bermakna anda sudah menjadi juara dan normal sebagaimana insan lain yang bercinta (sudah fahamkah erti cinta yang sebenarnya?). Anda rosak kerana cinta? - ia adalah kesalahan anda sendiri di dalam menterjemahkan cinta yang suci dan abadi. Semaklah semula adatnya bagaimana RasuluLlah menyalurkan perasaan cinta.

Jika berbaloi dengan bercinta - anda dapat merasai hidup bahagia serta mendapat keredhaan ALlah kerana matlamat anda jelas, anda sedia redha dengan kemungkinan yang berlaku serta tidak menyalahkan taqdir, perjalanan cinta tidak melanggar batas syarak. Maka silalah untuk bercinta.

Fikirkan.. Dalam masa bercinta, bagaimana hubungan kita dengan ALlah dan manusia serta makhluk yang lain? Semakin baik ataupun semakin jauh dan terus menjurang. Adakah ia menjadikan kita hamba ALlah yang bertaqwa ataupun hamba ALlah yang derhaka?


Friday, December 4, 2009

Bilakah Lagi Kita Akan Satu Hati ?


Bagus untuk dihayati


Wednesday, November 25, 2009

Kita Dan Pengorbanan


Assalamu'alaikum,

Dengan izin ALlah, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1430 Hijrah buat kesekian kalinya. Di tahun ini, Insya ALlah, umat Islam di Malaysia akan menyambutnya pada Hari Jumaat.

Sahabat yang dirahmati ALlah,

Jauh di Mekah sana, saudara-saudara seIslam sedang mengerjakan ibadah haji yang mengikat hati mereka dengan Makkah al Mukarramah, tempat terbitnya Islam dan daripadanya berpusat sinaran Tauhid ke seluruh alam ini. Di sana berhimpunlah orang-orang Islam dengan kesatuan dan kasih sayang tanpa mengira bangsa, warna kulit, pangkat, harta dan kedudukan.

Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban yang akan disambut nanti mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail 'alaihissalam.

Firman ALlah :

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْيَ قَالَ يٰبُنَيَّ إِنِّيۤ أَرَىٰ فِي ٱلْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يٰأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤمَرُ سَتَجِدُنِيۤ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّابِرِينَ

Ertinya: Maka tatkala anak itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya (Nabi Ibrahim), Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati daku termasuk orang-orang yang sabar".
(Surah ash-Shaffat: 102).

Kisah pengorbanan kedua-dua kekasih Allah ini dijadikan tauladan kepada diri kita bahawa perintah ALlah itu perlu diletakkan di tempat yang lebih tinggi yang melampaui batasan kasih sayang bapa dan anak.

Jika Ibrahim itu adalah kita, atau Ismail itu adalah kita. Adakah kita sanggup menerima ujian seberat itu ? Seorang bapa disuruh untuk menyembelih zuriatnya sendiri tanpa perlu banyak bicara. Seorang ibu yang bernama Hajar rela dan menyerahkan semuanya kepada Allah. Manakala anaknya taat dan patuh kerana imannya yang subur dan menyintai ALlah dari segala-galanya telah meletakkan batang lehernya untuk menyahut perintahNya.

Bukankah Dia yang telah memberi perintah untuk diikuti dan dilakukan dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang hamba ?

FirmanNya lagi :

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ * وَنَادَيْنَاهُ أَن يٰإِبْرَاهِيمُ * قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّؤْيَآ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلاَءُ ٱلْمُبِينُ * وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ * وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي ٱلآخِرِينَ * سَلاَمٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ * كَذَلِكَ نَجْزِي ٱلْمُحْسِنِينَ * إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ *

Ertinya: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya ketompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerukannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu [Yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.]”. – Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
(Surah ash-Shaffat: 103 – 107)


Begitulah kasih sayang Allah hendak menguji hamba-hambaNya. Tidaklah seseorang itu boleh mengaku dirinya sebagai beriman sehingga diuji oleh Sang Pemilik Jiwa.

Kita dan Pengorbanan

Sahabat yang dirahmati ALlah sekalian, selama ini kita berkorban tenaga, masa, buah fikiran di jalanNya sudahkah perkataan ikhlas itu diletakkan kukuh di dalam hati ?

Firman Allah di dalam surat Al-Hajj, 37:

لن ينال الله لحومها و لا دماءها ولكن يناله التقوى منكم

Ertinya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah ‘amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa kamu
[yakni keredhaan Allah Ta’ala tidak akan dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi dapat dicapai dengan niat amal yang ikhlas semata-mata keranaNya di dalam menta’ati perintahNya dan dengan rasa kecintaan yang mendalam kepadaNya]

Perjalanan berdakwah bukan mengambil masa dan jarak yang sedikit. Kita yang disatukan di bawah persaudaraan Islam tanpa mengira jawatan dan kedudukan perlu bersama mengerah tenaga, wang ringgit, minda dan perasaan untuk menjayakan tujuan yang murni. Bukankah cita-cita yang mulia itu memerlukan pengorbanan yang besar pula ?

Dan pengorbanan yang dicurahkan itu hanya sia-sia tanpa amal yang ikhlas yang berdasarkan kepada ketaqwaan kepadaNya.

Pengorbanan Hanya Untuk ALlah

Teringat dahulu kisah jerih perih semasa berjuang di medan dakwah diceritakan oleh sahabat yang terdahulu. Seorang muslimat yang dalam keadaan keletihan dan sakit tidak dapat berjalan. Lalu sahabat yang lain mulalah mencari jalan bagaimana untuk membantu seorang sahabat yang dalam keadaan tiada upaya.

Kalaulah di situ hanya ada jiwa yang punya kepentingan diri. Tentulah dibiarkan sahaja muslimat itu terlantar, berbaki dengan rungutan kerana terpaksa menanggung beban. Tetapi sahabat-sahabat yang berjiwa besar ini telah membuat satu usungan dari buluh dan kayu. Pengalasnya adalah dari pakaian sendiri, ikatannya adalah tali kasut yang dipakai mereka. Lalu mereka bersama-sama, bergilir-gilir membawa muslimat tersebut sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Biarlah bercucuran air keringat tetapi ukhwwah sesama Islam kerana ALlah itu lebih utama.

SubhanaLLah, bukankah cantik pengorbanan di jalan ALlah ini ? Mungkinlah pada pandangan kita adalah kecil. Tetapi... tentulah pandangan ALlah itu lebih besar.

Wahai diri, selagi engkau bergelar hamba, teruslah berusaha untuk memberi kebaikan dalam hidupmu. Carilah jalan untuk memberi dan menerima kebaikan. Mudah-mudahan kebaikan dalam pengorbanan di jalan ALlah diterima dan diredhaiNya.


 

C.O.M.R.A.D.E Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.