WELCOME TO COMRADE IIUM CLUB OFFICIAL SITE :: SELAMAT DATANG KE HALAMAN RASMI KELAB COMRADE UIAM :: SEGALA INFO TERKINI AKAN SENTIASA DIKEMASKINIKAN :: JANGAN JEMU UNTUK MENJENGAH DAN MENINGGALKAN KOMENTAR ::

Thursday, May 6, 2010

LEBIR @ BERITA HARIAN


::We Observe We Experience We Lend a Hand::


 Sekali lagi geng kita masuk ke dalam surat khabar! Program Lebir telah di paparkan di dalam akhbar Berita Harian yang bertarikh 6 Mei 2010. Sisipan di dalam ruangan Varsiti ini telah di tulis oleh Ruslan Rusly atau Abang Lan PRO.

Muka Depan Berita Harian.


Nama "Coomunity Reserach for Orang Asli Development" sekali lagi gah tertulis di dada akhabar.


Friday, October 30, 2009

Tilawah medan Orang Asli kembangkan dakwah



MOHD Sani (dua dari kiri) dan isteri (kanan) beramah mesra dengan Amran dan Siti Salmiah pada Majlis Tilawah Al Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2009 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kesungguhan qari, qariah pendorong kepada orang lain mendalami ilmu baca al-Quran

TILAWAH al-Quran menjadi medan dakwah bagi johan qari Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2009, Amran Abdullah dari Negeri Sembilan untuk menarik minat masyarakat terhadap ilmu membaca al-Quran secara berlagu.

Beliau yang juga johan menunggu majlis tilawah yang diadakan setiap dua tahun itu berkata, penyertaannya buat kali kelima sebagai bukti masyarakat Orang Asli mempunyai potensi menguasai bidang tertentu dengan syarat ia dilakukan secara bersungguh dan istiqamah.

Justeru, walaupun pernah menjadi johan sebanyak tiga kali pada majlis tilawah yang sama, Penolong Penguasa Penjara Tampin, Negeri Sembilan itu, tidak pernah jemu menguji kemahiran membaca al-Quran.

"Majlis tilawah bukan untuk tahu siapa menang atau kalah tetapi yang lebih penting ialah misi untuk berdakwah. Kesungguhan qari dan qariah mendalami ilmu membaca al-Quran boleh menjadi pendorong kepada orang lain belajar membaca al-Quran.

"Saya sudah mempunyai asas dalam ilmu pembacaan al-Quran dan latihan berterusan membolehkan saya memperbaiki mutu bacaan menjadi lebih baik," katanya yang mendapat bimbingan Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Seremban (MAIS), Samsuddin Abdullah yang juga bekas qari dan hakim lagu dari Negeri Sembilan.

Mendapat 87 peratus markah, Amran meletakkan Shahrul Nizam Sulong dari Pahang sebagai naib johan dan tempat ketiga dimenangi Yusri Anjang dari Perak. Dengan kemenangan itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan dan sijil.

Naib johan menerima hadiah wang tunai RM1,000 sementara tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM700 berserta piala iringan dan sijil.

Amran pernah menjadi johan Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pahang pada 2001, 2002 (Johor), 2007 (Bangi). Beliau juga diumumkan johan Majlis Tilawah Saudara Kita 2007.

Majlis Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA) dengan kerjasama Comrade UIAM di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Luar Bandar

dan Wilayah, Datuk Hasan Malek. Hadir sama, Pengarah JHEOA, Mohd Sani

Mistam dan Ketua Umno Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamarudin.

Mohd Sani berkata, JHEOA menetapkan empat objektif utama melalui penganjuran Majlis Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan iaitu bagi menerapkan kefahaman mengenai Islam dan ajarannya melalui penghayatan al-Quran.

Kedua, menanamkan minat kepada masyarakat Orang Asli untuk mempelajari al-Quran dengan bacaan tertib, ketiga, mendekatkan masyarakat Orang Asli dengan program bercorak keagamaan dan terakhir, mewujudkan semangat perpaduan ummah.

"Usaha yang dilakukan ternyata memberi peluang dan ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk menonjolkan bakat serta meningkatkan penghayatan syiar Islam supaya dapat diterjemahkan dalam kehidupan harian mereka," katanya.

Seramai 12 qari dan qariah mewakili masyarakat Orang Asli setiap negeri mengambil bahagian sementara 12 kumpulan nasyid dianggotai antara 12 dan 13 peserta memperdengarkan dua lagu pada majlis kali ini.

Bagi johan qariah, Siti Salmiah Sulong yang mewakili Pahang berkata, kemenangan kali ini mengingatkan kembali saat manis diumumkan sebagai johan pada 2001 dan kedua-dua kejayaan itu berkat sokongan ibu bapa serta keluarga.

Beliau yang memeluk Islam ketika usia 11 tahun terus berjinak-jinak dengan ilmu membaca al-Quran kerana minat terhadap ayat suci sudah mula dipupuk sebelum itu apabila selalu menonton tilawah al-Quran di televisyen.

"Minat sudah ada dan apabila keluarga memeluk Islam, saya terus belajar membaca al-Quran. Kami sekeluarga memang minat dan pembabitan saya mendapat sokongan ibu bapa," katanya yang menyimpan cita-cita untuk memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Murid kepada Imam Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Mohd Khalil Zari itu berkata, membaca al-Quran jika dijadikan amalan harian akan memberi ketenangan serta menghilangkan masalah yang membelenggu fikiran.

Oleh itu, selain sesi dengan guru, Siti Salmiah yang berhasrat mengadakan kelas mengajar al-Quran kepada masyarakat Orang Asli, akan berlatih sendiri membaca al-Quran setiap kali selepas menunaikan solat.

Naib johan qariah menjadi milik peserta dari Perak, Yusni Baharom yang mendapat markah 84 peratus dan tempat ketiga, Rohani Ithnin yang mewakili Johor dengan 80 peratus.

Sementara itu, johan Pertandingan Nasyid, kumpulan Nurhidayah dari Pos Brooke Gua Musang, melahirkan rasa gembira dengan kejayaan diraih buat kali keempat

berturut-turut kerana mengakui saingan kali ini agak sengit.

Mempertaruhkan lagu Selamat Berjuang dan Sekudus Wahana, Nurhidayah berjaya mendapat perhatian juri yang memberi 82 peratus markah. Naib johan, kumpulan Ar-Raudah dari Perak dengan markah 76 peratus dan tempat ketiga, kumpulan Nurul Naim dari Pahang mendapat 75 peratus

oleh:
Oleh Hasliza Hassan (Bharian)

We Observe We Experience We Lend a Hand


Tuesday, October 20, 2009

Ayat al-Quran pada kulit bayi



SEBAHAGIAN ayat al-Quran pada kulit Ali.

We Observe We Experience We Lend a Hand

MOSCOW - Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.

Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.
Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.

MADINA mendukung anaknya, Ali.

"Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia menangis," kata ibunya Madina Yagubova.

Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu

SEPOTONG ayat al-Quran pada peha Ali.

Paparan mengenai kejadian aneh di Dagestan, wilayah selatan Rusia yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video YouTube.

"Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi menyedarkan penduduknya supaya bersatu," kata seorang ahli parlimen di wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. - Agensi


Wednesday, September 16, 2009

Mahasiswa: Pelajar UIAM tingkat syiar Islam di kampung Orang Asli



PENDIDIKAN
Mahasiswa: Pelajar UIAM tingkat syiar Islam di kampung Orang Asli
Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

PELAJAR Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan program Ihya' Ramadan di perkampungan Orang Asli, Cameron Highlands, baru-baru ini, untuk menegakkan syiar Islam di kalangan masyarakat kaum minoriti itu. Pengarah program, Mohd Saffuan Sahat, berkata kira-kira 30 ahli Kelab Penggiat Pembangunan Masyarakat Orang Asli (Comrade) universiti itu menjalankan dakwah dan amal selama tiga minggu berturut-turut di Kampung Teji dan Kampung Abu. Beliau menyifatkan objektif utama program untuk meningkatkan pemahaman lebih 100 penduduk kampung berkenaan mengenai asas Fardu Ain tercapai, terutama apabila mereka dapat menunaikan ibadat terutama solat tanpa bimbingan, malah beberapa belia kampung itu mampu mengimamkan solat fardu.

Sambil menjelaskan tapak sebagai tempat sembahyang Jumaat turut dibina setelah perbincangan dengan Tok Batin kedua-dua kampung terbabit, beliau berkata: “Kebanyakan penduduk kampung angkat Comrade ini beragama Islam tetapi mereka tidak mengamalkan ajarannya dengan betul kerana tidak mendapat bimbingan sewajarnya. “Sebagai contoh, ada penduduk yang sudah 20 tahun memeluk Islam tetapi masih tidak tahu mengucap syahadah. Solat pula tidak ditunaikan secara tetap lima waktu sehari, begitu juga sembahyang Jumaat, tidak dilaksana.”

Beliau berharap penganjuran program Ihya’ Ramadan di kampung Orang Asli itu dapat menyempurnakan ibadat mereka setelah mendapat bimbingan dan kefahaman yang lebih jelas mengenainya. Mohd Saffuan berkata, selain berdakwah, peserta program itu turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan seperti makanan dan pakaian untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, selain menjalankan aktiviti bagi menceriakan kanak-kanak kampung itu.

Beliau berkata, program itu memberi pengalaman berharga kepada ahli Comrade kerana ia membuatkan mereka menginsafi kesukaran kehidupan penduduk kampung terbabit yang serba kekurangan. “Cabaran dirasai sejak awal program lagi apabila kami terpaksa berjalan kaki kira-kira 45 minit melalui jalan tidak berturap untuk sampai ke kampung berkenaan, tambahan pula waktu itu hujan lebat.

“Memasak sahur dan solat hanya dengan memasang lilin turut menjadi pengalaman kami yang tidak mungkin dilupakan,” katanya.


Monday, September 14, 2009

Siswa UIAM bimbing Orang Asli



KELAB Penggiat Pembangunan Masyarakat Orang Asli (Comrade), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mengadakan Program Ihya’ Ramadan bersama masyarakat Orang Asli Kampung Teji dan Kampung Abu, Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.

Pengarah Program, Mohd Saffuan Sahat, berkata program membabitkan 28 pelajar itu bertujuan memberi pemahaman kepada Orang Asli berkaitan kebaikan dan fadilat puasa selain kelebihan Ramadan berbanding bulan lain.

“Selain memberi penerangan kelebihan Ramadan, kita memberi tunjuk ajar mengenai solat Tarawih dan perkara yang membatalkan puasa.

“Kemuncak Ihya’ Ramadan, diadakan kursus jenazah yang dikelolakan pelajar UIAM,” katanya.

Mohd Suffuan berkata, bagi pelajar, program itu bukan saja untuk berbakti kepada masyarakat terutama Orang Asli tetapi menjadi satu pengalaman hidup.

“Pengalaman berbuka dengan masyarakat Orang Asli amat berharga.

“Perjalanan ke dua kampung ini juga sukar dan kebanyakan aktiviti seperti solat Tarawih, memasak dan sesi penerangan menggunakan lilin,” katanya.

Selepas empat minggu berulang dari Kuala Lumpur ke perkampungan itu, program itu berjaya apabila penduduk kampung Orang Asli mengamalkan asas-asas fardu ain.

“Kami berharap kedua-dua kampung itu menjadi penempatan contoh masyarakat Orang Asli mengamalkan cara hidup Islam,” katanya.

Program Ihya' Ramadan itu mendapat kerjasama Bahagian Pembangunan Pelajar UIAM, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Di majlis itu, pelajar menyerahkan sumbangan pakaian dan bahan-bahan makanan kepada penduduk kampung.

sumber: arkib mymetro 14 sept 2009


Tuesday, July 14, 2009

Sekilas pandang mengenai COMRADE


Comrade atau dengan nama panjangnya Community Research for Orang Asli Development telah di asaskan sejak tahun 1999 lagi. Nama Kelab Penggiat Pembangunan Masyarakat Orang Asli pula di pilih sebagai nama rasmi di dalam Bahasa Melayu. Pada tahun 2000, Comrade kemudiannya berdaftar sebagai kelab di bawah Unit Khidmat Masyarakat atau Censerve Unit yang berpusat di bawah Bahagian Pembangunan Pelajar UIAM (Student Development Division) sehinggalah pada tahun 2009.

Kini, Comrade mengikut 'ibunya' yakni Censerve menjadi satu pusat (centre) dan kini tidak lagi dikenali sebagi Unit Khidmat Masyarakat tetapi dengan wajah baru ia di namakan sebagai Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti UIAM (Centre for Universiti Social Responsibilty) atau CENSERVE.

Walaupun mengikut peralihan jabatan, Comrade masih seperti dahulu dengan misi dakwahnya kepada Orang Asli di Perak, Kelantan, dan Pahang. Program utamanya seperti Klinik Motivasi, Program Masuk Kampung, Lawatan Dakwah Berkala masih lagi di kekalkan.

Misi COMRADE dalam mendekati masyarakat Orang Asli termasuklah untuk mendekatkan masyarakat Orang Asli dengan dunia luar, meningkatkan taraf pendidikan mereka serta memberi ilmu agama Islam kepada mereka, serta menyelami masalah yang mereka hadapi.

Metod yang digunakan oleh COMRADE dalam mendekati masyarakat ini adalah dengan program masuk kampung. Program masuk kampung yang diadakan adalah seperti:

1) Training and Induction Programme (TRIP) : Program yang diadakan pada pertengahan semester, selama tiga hari.

2) Islamic Practical Teaching for Orang Asli (IPTA) : Program selama 7 hari di perkampungan Orang Asli yang diadakan setiap cuti semester

3) Eidul Adha Mahabbah Project : Program menyambut Hari raya Korban bersama penduduk kampung

4) Ihya' Ramadhan : Berpuasa bersama penduduk kampung dan memberikan maklumat dan pendidikan kepada penduduk kampung mengenai bulan Ramadhan dan puasa.

5) Small visit : Projek yang diadakan setiap minggu bagi mendekatkan lagi hubungan diantara para pelajar dan penduduk kampung

Metod yang digunakan
Sepanjang program masuk kampung diadakan, para pelajar akan diberikan keluarga angkat. Hubungan diantara keluarga angkat dan anak angkat akan berterusan walaupun setelah tamat program. Ini bagi menyelami masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung dari setiap sudut, termasuklah infrastruktur, pendidikan, agama dan ekonomi mereka.
Selain itu, COMRADE juga mengadakan aktiviti-aktiviti yang dikira dapat mendekatkan lagi masyarakat Asli dengan pelajar UIAM, diantaranya termasuklah:
1) Kelas Fardhu Ain
2) Hari Sukan


3) Kelas Modul bagi membantu adik-adik







4) Ziarah keluarga angkat
Maklumat tambahan mengenai program-program yang telah dijalankan boleh dilihat di sini dan gambar boleh dilihat di sini


Monday, July 6, 2009

Selami Hidup Orang Asli


Oleh NOREALYNA MISMAN
metahad@hmetro.com.my

PERKATAAN seperti 'elok gah' bermaksud apa khabar, 'yek' bermaksud saya dan 'amek, abe' bermaksud ibu bapa sudah biasa digunakan bagi menyapa mesra tatkala pertama kali berkunjung ke perkampungan Orang Asli.


Itu adalah rutin bagi Kelab Penggiat Pembangunan Masyarakat Orang Asli (Comrade), sebuah kelab di bawah kelolaan unit Khidmat Masyarakat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang dianggotai sekumpulan penuntut universiti itu yang prihatin terhadap kebajikan Orang Asli di Malaysia.

Tidak ramai remaja berminat berkongsi rasa, mengenali kehidupan dan menjaga kebajikan Orang Asli. Justeru, usaha penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menubuhkan satu kelab khusus untuk tujuan itu adalah sesuatu yang harus dipuji.Kelab Penggiat Pembangunan Masyarakat Orang Asli (Comrade), demikian nama kelab itu yang kini dianggotai 150 penuntut UIAM, termasuk dari luar negara.

Presidennya, Razali Sudin, 23, berkata antara aktiviti utama kelab Comrade ialah menawarkan ahlinya pengalaman hidup bersama masyarakat Orang Asli di sekitar Kelantan, Pahang dan Perak yang kebanyakannya daripada suku kaum Orang Asli Temiyar, Semai dan Bateq.

"Kelab Comrade juga menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu kebajikan masyarakat dan pendidikan anak Orang Asli, selain memberi kefahaman kepada mereka mengenai Islam," katanya.Beliau berkata, pada mulanya kelab itu hanya satu biro di bawah Kelab Kembara UIAM.

Namun, menyedari hakikat mereka perlu memberi tumpuan penuh membantu masyarakat Orang Asli, ia dinaik taraf kepada kelab dan mula bergerak sendiri sejak 2000.Menurutnya, mungkin ada yang memandang sinis atau menganggap penubuhan serta aktiviti kelab itu sesuatu yang remeh, namun hakikatnya ia bukan semudah disangka kerana setiap ahli sebenarnya akan teruji daripada segi mental dan fizikal.

"Fizikal dan mental mereka akan diuji sama ada sebelum, semasa dan selepas setiap program Masuk Kampung yang kami jalankan."Pengalaman seperti tanah runtuh, berjalan merentasi tanah berselut lebih 10 jam dan trak terbalik sudah biasa kami lalui setiap kali masuk ke kampung Orang Asli yang terletak di kawasan hutan," katanya.

Razali berkata, paling menguji kesabaran ialah apabila ada sesetengah Orang Asli yang terlalu pemalu dan sukar menerima kedatangan orang luar."Masyarakat Orang Asli sangat pemalu, terutama suku kaum Bateq yang tinggal di Gua Musang, Kelantan.

Pernah sekali, apabila kami mengetuk pintu rumah, mereka sekeluarga lari mengikut pintu belakang," katanya.Sebab itu, kata Razali, sebelum program Masuk Kampung diadakan, Comrade memaklumkannya terlebih dulu kepada ketua Orang Asli terbabit atau lebih dikenali sebagai Tok Batin. Ia penting untuk mengelak dihalau jika menerjah masuk ke kampung mereka sewenang-wenangnya.

Ketua Biro Pendidikan Comrade, Atikah Mohamad, 23, berkata sebenarnya masyarakat Orang Asli sangat menghargai tetamu dan sanggup bersusah payah untuk memastikan ahli Comrade yang menjadi anak angkat mereka berasa selesa."Paling mengharukan, walaupun rumah 'amek' (ibu) dan 'abe' (bapa) kecil dan bilangan ahli keluarga juga ramai, mereka bersungguh-sungguh mengundang saya bermalam di rumah mereka."Malah, ada juga keluarga Orang Asli sanggup 'meminjam' ayam daripada jiran untuk memasak hidangan istimewa buat kami," katanya.

Menurut penuntut tahun empat jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab itu, bergotong-royong membuat persediaan kenduri bersama penduduk Orang Asli adalah saat paling menyeronokkan baginya.Ini kerana pada masa itu setiap ahli Comrade berpeluang beramah mesra bersama seluruh masyarakat Orang Asli yang tinggal di kampung berkenaan."Pengalaman memasak makanan tradisional Orang Asli memang tidak akan dilupakan.

Hidangan paling sedap ialah ubi dimasak dalam buluh seperti lemang," katanya.Ahli Comrade, Mohd Adil Mufti Mohamad Samsudin, 23, berkata secara peribadi dia ingin melihat masyarakat Orang Asli hidup dalam kemajuan, namun baginya ada budaya dan adat resam Orang Asli yang perlu dikekalkan."Banyak pengalaman menarik yang saya dapat setiap kali berkunjung ke kampung Orang Asli, antaranya cara meniup sumpit dan menari tarian Sewang," katanya.

Bercerita lanjut mengenai adat masyarakat Orang Asli, Mohd Adil berkata, adakalanya mereka masih mengamalkan pantang larang pelik, contohnya tidak boleh mengunjungi rumah jiran yang ahli keluarganya baru meninggal dunia."Jika ada adat dan pantang larang yang bercanggah dengan Islam, kami akan mendidik mereka dengan cara paling lembut dan berhemah," katanya.

Ahli Comrade yang berasal dari Bangladesh, Muhammad Ashraf Ali ,24, berkata ketika pertama kali mengunjungi perkampungan Orang Asli, dia sangat terkejut kerana tidak menyangka masih ada masyarakat sebegitu di Malaysia."Masalah utama yang saya hadapi sudah tentu daripada segi bahasa kerana saya tidak fasih berbahasa Melayu. Jadi, memang sukar untuk berkomunikasi dengan keluarga angkat saya. Mujur saya ditempatkan bersama seorang rakan Melayu," katanya.

Menurutnya, pengalaman paling menarik ialah selepas program tamat keluarga angkatnya memeluknya erat dan menangis teresak-esak, membuatkannya berat hati untuk meninggalkan mereka.Ketua Biro Latihan dan Tarbiyah Comrade, Zainul Abidin Hussin, 23, berkata Comrade mendapat bantuan daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan setiap kali mengadakan program bersama masyarakat Orang Asli.

Antaranya Jabatan Hal Ehwal Orang asli (JHEOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Baitulmal Kuala Lumpur."Bantuan diberi dalam pelbagai aspek seperti pengangkutan, modul pengajaran dan juga kewangan," kata penuntut tahun empat jurusan Ilmu Wahyu itu.Zainul Abidin juga mengalu-alukan sumbangan daripada individu dan mana-mana pertubuhan lain kepada Comrade seperti pakaian terpakai dan makanan untuk disalurkan asas kepada Orang Asli.

>Info

NAMA KELAB: Kelab Penggiat Pembangunan Masyarakat Orang Asli (Comrade) UIAM
PRESIDEN: Razali Sudin, 23 (Tahun 4, Jurusan Ilmu Wahyu)TAHUN PENUBUHAN: 2000
JUMLAH AHLI: 150 orang
PENCAPAIAN: Program Terbaik, Malam Anugerah Kokurikulum UIAM 2007
NO TEL: 013 6039495 (Razali)


 

C.O.M.R.A.D.E Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.