WELCOME TO COMRADE IIUM CLUB OFFICIAL SITE :: SELAMAT DATANG KE HALAMAN RASMI KELAB COMRADE UIAM :: SEGALA INFO TERKINI AKAN SENTIASA DIKEMASKINIKAN :: JANGAN JEMU UNTUK MENJENGAH DAN MENINGGALKAN KOMENTAR ::

Friday, October 30, 2009

Tilawah medan Orang Asli kembangkan dakwah



MOHD Sani (dua dari kiri) dan isteri (kanan) beramah mesra dengan Amran dan Siti Salmiah pada Majlis Tilawah Al Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2009 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kesungguhan qari, qariah pendorong kepada orang lain mendalami ilmu baca al-Quran

TILAWAH al-Quran menjadi medan dakwah bagi johan qari Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2009, Amran Abdullah dari Negeri Sembilan untuk menarik minat masyarakat terhadap ilmu membaca al-Quran secara berlagu.

Beliau yang juga johan menunggu majlis tilawah yang diadakan setiap dua tahun itu berkata, penyertaannya buat kali kelima sebagai bukti masyarakat Orang Asli mempunyai potensi menguasai bidang tertentu dengan syarat ia dilakukan secara bersungguh dan istiqamah.

Justeru, walaupun pernah menjadi johan sebanyak tiga kali pada majlis tilawah yang sama, Penolong Penguasa Penjara Tampin, Negeri Sembilan itu, tidak pernah jemu menguji kemahiran membaca al-Quran.

"Majlis tilawah bukan untuk tahu siapa menang atau kalah tetapi yang lebih penting ialah misi untuk berdakwah. Kesungguhan qari dan qariah mendalami ilmu membaca al-Quran boleh menjadi pendorong kepada orang lain belajar membaca al-Quran.

"Saya sudah mempunyai asas dalam ilmu pembacaan al-Quran dan latihan berterusan membolehkan saya memperbaiki mutu bacaan menjadi lebih baik," katanya yang mendapat bimbingan Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Seremban (MAIS), Samsuddin Abdullah yang juga bekas qari dan hakim lagu dari Negeri Sembilan.

Mendapat 87 peratus markah, Amran meletakkan Shahrul Nizam Sulong dari Pahang sebagai naib johan dan tempat ketiga dimenangi Yusri Anjang dari Perak. Dengan kemenangan itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan dan sijil.

Naib johan menerima hadiah wang tunai RM1,000 sementara tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM700 berserta piala iringan dan sijil.

Amran pernah menjadi johan Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pahang pada 2001, 2002 (Johor), 2007 (Bangi). Beliau juga diumumkan johan Majlis Tilawah Saudara Kita 2007.

Majlis Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA) dengan kerjasama Comrade UIAM di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Luar Bandar

dan Wilayah, Datuk Hasan Malek. Hadir sama, Pengarah JHEOA, Mohd Sani

Mistam dan Ketua Umno Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamarudin.

Mohd Sani berkata, JHEOA menetapkan empat objektif utama melalui penganjuran Majlis Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan iaitu bagi menerapkan kefahaman mengenai Islam dan ajarannya melalui penghayatan al-Quran.

Kedua, menanamkan minat kepada masyarakat Orang Asli untuk mempelajari al-Quran dengan bacaan tertib, ketiga, mendekatkan masyarakat Orang Asli dengan program bercorak keagamaan dan terakhir, mewujudkan semangat perpaduan ummah.

"Usaha yang dilakukan ternyata memberi peluang dan ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk menonjolkan bakat serta meningkatkan penghayatan syiar Islam supaya dapat diterjemahkan dalam kehidupan harian mereka," katanya.

Seramai 12 qari dan qariah mewakili masyarakat Orang Asli setiap negeri mengambil bahagian sementara 12 kumpulan nasyid dianggotai antara 12 dan 13 peserta memperdengarkan dua lagu pada majlis kali ini.

Bagi johan qariah, Siti Salmiah Sulong yang mewakili Pahang berkata, kemenangan kali ini mengingatkan kembali saat manis diumumkan sebagai johan pada 2001 dan kedua-dua kejayaan itu berkat sokongan ibu bapa serta keluarga.

Beliau yang memeluk Islam ketika usia 11 tahun terus berjinak-jinak dengan ilmu membaca al-Quran kerana minat terhadap ayat suci sudah mula dipupuk sebelum itu apabila selalu menonton tilawah al-Quran di televisyen.

"Minat sudah ada dan apabila keluarga memeluk Islam, saya terus belajar membaca al-Quran. Kami sekeluarga memang minat dan pembabitan saya mendapat sokongan ibu bapa," katanya yang menyimpan cita-cita untuk memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Murid kepada Imam Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Mohd Khalil Zari itu berkata, membaca al-Quran jika dijadikan amalan harian akan memberi ketenangan serta menghilangkan masalah yang membelenggu fikiran.

Oleh itu, selain sesi dengan guru, Siti Salmiah yang berhasrat mengadakan kelas mengajar al-Quran kepada masyarakat Orang Asli, akan berlatih sendiri membaca al-Quran setiap kali selepas menunaikan solat.

Naib johan qariah menjadi milik peserta dari Perak, Yusni Baharom yang mendapat markah 84 peratus dan tempat ketiga, Rohani Ithnin yang mewakili Johor dengan 80 peratus.

Sementara itu, johan Pertandingan Nasyid, kumpulan Nurhidayah dari Pos Brooke Gua Musang, melahirkan rasa gembira dengan kejayaan diraih buat kali keempat

berturut-turut kerana mengakui saingan kali ini agak sengit.

Mempertaruhkan lagu Selamat Berjuang dan Sekudus Wahana, Nurhidayah berjaya mendapat perhatian juri yang memberi 82 peratus markah. Naib johan, kumpulan Ar-Raudah dari Perak dengan markah 76 peratus dan tempat ketiga, kumpulan Nurul Naim dari Pahang mendapat 75 peratus

oleh:
Oleh Hasliza Hassan (Bharian)

We Observe We Experience We Lend a Hand

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 comments:

Post a Comment

 

C.O.M.R.A.D.E Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.