WELCOME TO COMRADE IIUM CLUB OFFICIAL SITE :: SELAMAT DATANG KE HALAMAN RASMI KELAB COMRADE UIAM :: SEGALA INFO TERKINI AKAN SENTIASA DIKEMASKINIKAN :: JANGAN JEMU UNTUK MENJENGAH DAN MENINGGALKAN KOMENTAR ::

Sunday, October 18, 2009

Membantu suku kaum Jahai



MICHELLINA TRIWARDHANY (lima dari kiri) bersama kakitangan Citibank pada majlis penyerahan sumbangan kepada komuniti suku kaum Jahai

"We Observe We Experience We Lend a Hand"

Membantu suku kaum Jahai

Sumbangan kami adalah untuk mendidik komuniti Jahai mengenai peluang-peluang ekonomi lestari berdasarkan sumber alam Belum-Temenggor serta membangunkan potensi eko-pelancongan di sekitarnya.

SEJAJAR dengan program komuniti yang dilaksanakan secara berterusan, Citibank telah menderma sebanyak kira-kira RM175,000 kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS). Ia bagi mewujudkan peluang-peluang ekonomi masyarakat Jahai yang tinggal di hutan hujan Belum-Temenggor di Perak.

Bantuan yang diberi menerusi Yayasan Citi itu akan digunakan untuk memantau dan melindungi burung enggang melalui rancangan 'Anak Angkat Enggang'. Selain menjana pendapatan melalui taman herba, satu-satunya projek seumpama itu yang digunakan untuk mencatat serta mengumpul ilmu tradisional kaum Jahai mengenai pokok ubat-ubatan.

"Citibank komited untuk membantu komuniti Jahai menaikkan taraf hidup mereka. Daya usaha kami bertujuan memperkasa komuniti ini supaya mereka boleh berdikari dari segi ekonomi dan kewangan.

"Sumbangan kami adalah untuk mendidik komuniti Jahai mengenai peluang-peluang ekonomi lestari berdasarkan sumber alam Belum-Temenggor serta membangunkan potensi eko-pelancongan di sekitarnya. Ia diharap akan memberi manfaat kepada suku kaum ini dalam jangka masa panjang," ujar Ketua Perbankan Pengguna bagi Citibank Berhad, Michellina Triwardhany dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Projek pemuliharaan burung enggang akan meningkatkan keupayaan suku kaum Jahai untuk memantau dan melindungi spesies enggang dalam hutan belantara Belum-Temengor. Kemahiran dan pengetahuan itu akan digunakan untuk menjayakan program 'Anak Angkat Enggang' yang sedang dirancang dan dibangunkan oleh MNS. Oleh kerana kaum Jahai tinggal di dalam kawasan tersebut, mereka lebih sesuai memantau dan membuat catatan mengenai aktiviti burung enggang. Ini seterusnya membantu Projek Pemuliharaan Enggang MNS dan program 'Anak Angkat Enggang'. Mereka yang terpilih daripada masyarakat itu juga akan dilatih menjadi 'penjaga sarang' kepada spesies enggang yang mendiami hutan hujan tersebut.

Selain itu, sejak tiga bulan lalu, MNS dengan bantuan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), telah mengajar suku kaum Jahai mengenai cara menanam dan menjaga pokok-pokok herba. Pokok herba yang ditanam itu ialah daripada jenis yang digunakan untuk mengubat sakit gigi, demam dan masalah kulit seperti kurap. Banyak lagi jenis pokok herba yang digunakan oleh suku kaum Jahai untuk tujuan perubatan akan ditanam secara berperingkat-peringkat.

"Kami sukacita kerana pihak Citibank sanggup tampil menjadi rakan dalam projek ini untuk membantu kawan lama kami iaitu masyarakat Jahai dalam usaha pemuliharaan alam sekitar," kata Timbalan Ketua Pemuliharaan MNS, Yeap Chin Aik.

Sebagai bantuan lebih lanjut untuk suku kaum Jahai, kakitangan Citibank menderma sebanyak RM12,000 pada Hari Bumi Antarabangsa sebagai tanda komitmen mereka untuk menyokong dan memelihara alam sekitar. Sumbangan tambahan itu akan digunakan untuk membeli sebuah pam air baru bagi menyalurkan air bersih kepada kaum tersebut, perkakas serta anak benih untuk taman herba mereka.

"Selaku penyumbang jangka panjang dalam usaha-usaha komuniti, Citibank giat menyertai program yang menyokong pemuliharaan alam sekitar. Misalnya aktiviti kitar semula di semua cawangan, e-penyata bulanan, serta daya usaha yang menyokong perusahaan lestari, seperti mana yang dijalankan oleh pihak MNS.

"Sebagai sebuah pertubuhan, kami berpendapat adalah perlu dan mustahak warga kerja kami dilibatkan dalam rancangan komuniti seperti ini. Ia sangat penting supaya kami terlibat secara langsung dalam usaha memperbaiki mutu hidup individu, komuniti dan masyarakat secara keseluruhan," kata Michellina lagi.

Berdasarkan maklumat daripada Centre for Orang Asli Concerns (COAC), pada masa ini, terdapat 248 perkampungan orang asli di Perak. Daripada jumlah itu, sebanyak 116 perkampungan belum membangun.

Misalnya, Kampung Chuweh di Temenggor ialah sebuah daripada perkampungan yang belum membangun. Ia tidak mempunyai bekalan air paip bersih, sanitasi yang sempurna dan bekalan elektrik. Dengan penduduk seramai 60 orang, suku kaum Jahai di kampung itu tinggal di kawasan terpencil dalam belantara Belum-Temenggor yang hanya boleh didatangi dengan bot. Kebanyakan komuniti itu bergantung kepada hasil hutan untuk menyara hidup seperti menangkap ikan, menjual buluh dan rotan.

Sebahagian besar daripada kanak-kanak suku kaum itu tidak bersekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu mengeluarkan belanja minyak dan sewa bot. Oleh itu, kejayaan taman herba dan projek burung enggang akan menjadi contoh bagi kampung-kampung berdekatan.

Hutan hujan Belum-Temenggor menyimpan khazanah lebih 3,000 spesies pokok berbunga, mempunyai sebuah tasik yang didiami 23 spesies air ikan tawar dan lima spesies tuntung. Ia merupakan habitat semula jadi bagi 14 jenis daripada mamalia yang hampir pupus di dunia. Antaranya harimau, beruang, badak sumbu, ungka, gajah dan tenuk.

Hutan itu juga merupakan destinasi unggul bagi aktiviti eko-pelancongan seperti memerhati hidupan liar, pendidikan dan penyelidikan yang menyokong usaha pemuliharaan di kawasan berkenaan. (KOSMO)


Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 comments:

Post a Comment

 

C.O.M.R.A.D.E Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.