Oleh: NOR SYUHADAA MOHD SAMSUDDIN
Kisah ini ingin kuabadikan dalam diari hidupku dan akan kekal menjadi memori manis. Aku fikir teman-teman seperjuangan jua merasakan perkara yang sama. Kunjunganku ke Pos Lebir kali ini merupakan kunjungan ketiga buatku. Kali pertama aku ke sana pada tahun 2005, dan kunjungan kedua menyusul pada tahun 2007.
Setiap kunjunganku ke ‘daerah ukhwah’ ini mencoretkan cerita dan pengalaman yang berbeza. Pada tahun 2005, aku melihat penerimaan orang kampung terhadap kedatangan para da’ie Comrade agak hambar. Betapa sukarnya kami untuk memikat hati para penduduk kampung, hinggakan kanak-kanak juga tidak berjaya kami pikat. Apatah lagi orang dewasa dan para remaja di situ. Sungguh orang kampung ini yang berlatarbelakangkan kaum bateq amat pemalu orangnya. Agak buntu juga kami ketika itu, sarat kepala memikirkan bagaimana caranya untuk menawan hati penduduk kampung.
Berbekalkan semangat kental dan niat yang murni, kami terus cuba memikat hati para penduduk tanpa rasa jemu. Pelbagai cara kami gunakan; ada yang mengikut nak (amek) menangkap belalang, ada juga yang pergi dari rumah ke rumah membawa khabaran kenduri akan diadakan untuk penduduk kampong, dan ada yang cuba memikat adik-adik dengan gula-gula yang beraneka warna. Akhirnya, sekumpulan kanak-kanak telah berjaya kami tawan. Lantas biro modul memulakan tugasnya melayan kanak-kanak dengan kertas putih dan pensel warna . Tidak lama kemudian, kedengaran deruman enjin motor bersilih ganti menghantar anak-anak kecil mengikuti program kami.Alhamdulillah, puji dan syukur kami panjatkan buat-Mu Tuhan Yang Maha Penyayang. Akhirnya, warga Pos Lebir dapat menerima kehadiran kami.
April 2007, Comrade sekali lagi menjadikan Pos Lebir sebagai destinasi program masuk kampung untuk sem tersebut. Namun, tidak banyak yang dapat kuceritakan perihal program kali ini kerana aku tiba di sana pada malam terakhir program. Cuma apa yang dapat kukatakan, warga Pos Lebir semakin menerima kehadiran kami dan menganggap kami sebahagian daripada mereka. Di sini dapat dilihat, jalinan ukhwah antara kami dan penduduk kampung semakin erat.
Untuk program yang baru sahaja seminggu berlalu, kehangatan ukhwah itu masih utuh terasa walaupun aku di sana cuma 3 hari. Sungguh, program kali ini begitu menyentuh sanubari hati. Jalinan ukhwah yang makin tersimpul erat atas nama Islam itu kurasakan begitu bernilai daripada sebutir permata. Walaupun aku tahu, pada permulaan program penduduk kampung tidak dapat menerima kehadiran kami, tapi kerana nilai ‘ukhwah’ segalanya dipermudahkan Yang Maha Penyayang. Kemesraan jelas terpancar dari raut wajah mereka, terutama adik-adik, lantas diluahkan melalui keakraban. Tidak kira yang kecil mahupun yang besar, semuanya mesra dan peramah bertanyakan itu dan ini pada abang-abang dan kakak-kakak Comrade.
Hilang sudah rasa malu dan segan. Kukira itu merupakan satu perkembangan yang baik. Saat yang paling mengharukan aku, ketika kami sedang bersiap untuk pulang ke taman ilmu dan budi pagi Isnin itu, kulihat adik-adik sedang berdiri di pagar sekolah dengan linangan mata. Aku yang ketika itu baru sahaja ingin menjamah sarapan menjadi hilang selera. Lantas aku dan beberapa orang teman meluru ke arah mereka. Kami berpelukan erat, memberi kata semangat, dan sama-sama membaca doa wihdah. Selamat tinggal Pos Lebir, kami datang membawa harapan, kami pulang bersama kenangan.
‘
Sebuah Meja Kecil
7 years ago
0 comments:
Post a Comment